Khamis, 14 March 2019 | 1:46pm
Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan.
Keadaan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang dipenuhi tompokan hitam sisa bahan kimia. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kerajaan Johor lambat bertindak

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-Guru Muslim (iGuru) kesal dengan kelewatan kerajaan Johor bertindak menangani kes pembuangan sisa kimia sehingga memberi kesan buruk kepada lebih 500 murid di 20 sekolah.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata kerajaan negeri juga perlu mengambil tindakan segera terhadap dalang insiden itu.

Beliau berkata, kegagalan mengambil tindakan segera boleh menjejaskan lagi kesihatan dan keselamatan murid.

“iGuru kesal atas kelewatan tindakan dalam menangani kes ini kerana ia akan memberi kesan kesihatan dan keselamatan nyawa kepada murid-murid.

“Setakat ini, terdapat lebih 500 murid mendapat rawatan di hospital dan 111 sekolah ditutup operasi akibat pembuangan sisa kimia.

“Justeru, iGuru berharap pihak kerajaan mengambil tindakan segera untuk menghukum pesalah dan mengutamakan keselamatan murid-murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama penuh kepada agensi kerajaan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha mengekang penyebaran maklumat tidak sahih mengenai insiden itu.

Katanya, langkah terbaik ialah merujuk pihak berkuasa untuk mendapatkan berita atau maklumat yang sahih sebelum menularkan di media sosial.

“Semua pihak membabitkan agensi kerajaan, pihak sekolah, PIBG dan ibu bapa perlu bekerjasama untuk menangani isu ini.

“Dapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkaitan serta tidak menularkan maklumat palsu,” katanya.

1177 dibaca
Berita Harian X