Khamis, 14 March 2019 | 1:36pm
Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mahu Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran sisa kimia. - Ihsan Royal Press Office

Sultan Johor mahu MB tubuh jawatankuasa rangka SOP

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mahu Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran sisa kimia.

Sultan Ibrahim bertitah, jawatankuasa itu juga perlu merangka satu prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi semua pihak kelak bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di Johor.

Titah baginda, perkara lain yang perlu diutamakan juga adalah pembangunan sistem amaran awal jika berlaku pencemaran udara atau air.

“Dengan adanya sistem berkenaan, sekiranya berlaku apa-apa pencemaran sama ada di udara atau air, pihak berkuasa dapat memberi amaran awal kepada penduduk.

“Pada masa sama, penduduk juga dapat membuat persiapan awal, manakala pasukan kecemasan atau pihak berkuasa dapat bergerak lebih cepat,” titah baginda yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi melawat mangsa pencemaran sisa kimia yang sedang mendapatkan rawatan, selain mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM1 juta bagi mempercepatkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim yang tercemar.

“Saya mahu jawatankuasa khas diwujudkan segera dan memberi penekanan kepada perkara yang sudah saya tegaskan sebelum ini,” titah baginda.

Berita Harian X