Khamis, 14 March 2019 | 12:03pm

Sisa kimia tidak dibiarkan di lokasi - EXCO

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri menafikan 2.43 tan sisa kimia yang dikumpulkan di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih di sini, pada hari pertama pencemaran dikesan Khamis lalu, dibiarkan di lokasi kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata sisa itu yang dikumpulkan dalam operasi pembersihan antara jam 9.30 hingga 11 malam segera dihantar ke pusat pelupusan yang berlesen.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa lambat menguruskan situasi bencana berkenaan.

"Bomba menerima laporan mengenai bau sisa kimia pada jam 5.15 pagi Khamis lalu dan segera membuat pemeriksaan, namun keadaan gelap menyebabkan kesukaran menemui punca pencemaran.

"Kira-kira jam 9.30 pagi, pihak berkuasa menemui banyak tompokan hitam sisa kimia dan kerja pembersihan segera dilakukan," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri di Menara Aqabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi pembersihan bagaimanapun terpaksa dihentikan pada hari kedua selepas sisa kimia itu didapati sangat berbahaya dan memerlukan kaedah pembersihan yang mematuhi standard ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, semalam dilaporkan berkata sisa kimia yang tidak dibuang menyebabkan keadaan bencana semakin buruk.

Mengulas perkembangan terkini, Dr Sahruddin berkata, kontraktor yang dilantik untuk menjalankan pembersihan itu sudah memulakan kerja malam tadi.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang menerima rawatan akibat pencemaran bahan kimia itu sehingga jam 8 malam tadi ialah seramai 947 orang dengan 217 orang dihantar ke hospital.

Media hari ini melaporkan, pencemaran bahan kimia beracun yang dikesan di Sungai Kim Kim di Taman Pasir Putih di sini, Khamis lalu semakin merebak sehingga menjejaskan kehidupan penduduk yang berada dalam radius 15 kilometer dari lokasi punca bencana.

Sehingga malam tadi, lebih 500 orang penduduk terutama pelajar sekolah rendah serta menengah sudah dan sedang dalam rawatan di hospital, termasuk sembilan orang yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua 111 sekolah yang berada di kawasan Pasir Gudang serta-merta kerana pencemaran bahan kimia itu mencetuskan situasi bahaya kepada kanak-kanak.

1715 dibaca
Anggota pasukan HAZMAT membuat pemeriksaan sebelum kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dimulakan. - NSTP/Hasan Ismail
Berita Harian X