Rabu, 13 March 2019 | 11:28pm
MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik pada sidang media selepas melawat mangsa-mangsa kes pembuangan sisa toksik di Sungai Kimkim yang dirawat di Hospital Sultan Ismail. - Foto Bernama

Semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang ditutup berkuat kuasa serta merta mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa dan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri susulan pencemaran sisa bahan kimia berbahaya di Sungai Kim Kim di daerah itu pada Khamis lalu.

“Sehubungan itu semua murid, kakitangan dan pekerja di semua sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing sehingga situasi kembali pulih.

“Kementerian memohon semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Setakat ini, seramai 506 individu dirawat akibat pencemaran sisa bahan kimia berbahaya dengan 166 ditahan di wad manakala sembilan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengesahkan keadaan di Pasir Gudang masih terkawal dengan semua langkah proaktif diambil dan tiada keperluan bagi kerajaan negeri mengisytihar darurat susulan kes itu.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim menjangkau ke kawasan seluas 15 kilometer dari sungai berkenaan akibat pengewapan haba, angin kencang dan hujan.

Jawatankuasa itu turut melantik dua kontraktor tambahan bagi membantu kontraktor sedia ada melakukan kerja pembersihan Sungai Kim Kim dengan dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kerja pembersihan Sungai Kim Kim dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu bagi mengelak kesan pencemaran berterusan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin hari ini berkata, lapan sebatian kimia berbahaya disahkan dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang antaranya metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene and limonene.

2304 dibaca
Berita Harian X