Rabu, 13 March 2019 | 9:34pm
Jawatankuasa turut melantik dua kontraktor tambahan bagi membantu kontraktor sedia ada melakukan kerja pembersihan dengan dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS).

'Pengewapan, cuaca luaskan kawasan tercemar'

PASIR GUDANG: Pencemaran sisa kimia berbahaya haram di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang menjangkau ke kawasan seluas 15 kilometer dari sungai berkenaan akibat pengewapan haba, angin kencang dan hujan.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata ia menyebabkan 34 sekolah yang berada dalam lingkungan kawasan berkenaan diarah tutup sementara sehingga keadaan pencemaran reda.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor, berkata kawasan dalam radius berkenaan mempunyai 42 sekolah dengan lapan kekal dibuka.

Katanya, bancian kawasan perumahan berhampiran Sungai Kim Kim mendapati ia kurang terjejas berikutan lebih tertutup berbanding sekolah yang lebih terbuka.

Osman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, perkembangan kes itu dipantau secara serius.

“Kita membuat bancian di kawasan terjejas dari semasa ke semasa dan jika perlu, arahan menutup baki lapan sekolah yang dibuka akan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, keadaan dilihat terkawal dengan semua langkah proaktif sudah diambil dan tiada keperluan bagi kerajaan negeri mengisytihar darurat selepas mesyuarat semua agensi serta pakar berkaitan hari ini.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor akan mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas bagi memberi kuasa penuh menyiasat lebih terperinci termasuk dari segi forensik kes pencemaran sisa kimia berbahaya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor di Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Osman berkata, jawatankuasa turut melantik dua kontraktor tambahan bagi membantu kontraktor sedia ada melakukan kerja pembersihan Sungai Kim Kim dengan dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kita sasarkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu kerana perlu cepat dilakukan bagi mengelak kesan pencemaran berterusan, ” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly mengesahkan tiada kematian dilaporkan dalam kes berkenaan.

“Setakat ini, seramai 506 individu dirawat akibat pencemaran sisa bahan kimia berbahaya dengan 166 ditahan di wad manakala sembilan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

Mengulas perkara berkaitan, Bee Yin berkata, bantuan peralatan mengesan sisa kimia daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Petronas akan dihantar ke lokasi terjejas bagi membuat bacaan secara terus tahap pencemaran di Pasir Gudang.

“Kita juga menghantar alatan pengesan angin daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) ke lokasi pencemaran, ” katanya.

2048 dibaca
OSMAN (tengah) mendengar taklimat ringkas ketika membuat lawatan ke pusat rawatan kecemasan dipercayai terhidu gas kimia berbahaya di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X