Rabu, 13 March 2019 | 2:53pm

Pengusiran penyewa PPR Taman Manggis: 6 keluarga setuju selesai kemelut

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang bersetuju menyediakan kediaman alternatif kepada enam keluarga yang berkampung di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) selepas diusir dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, di sini.

EXCO Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata dua keluarga bersetuju menerima rumah kos rendah melalui skim sewa beli, manakala satu keluarga akan membeli rumah kos sederhana rendah.

“Dua keluarga yang menerima rumah kos rendah menerusi skim sewa beli hanya perlu bayar RM233.30 sebulan tanpa faedah sehingga tempoh 20 tahun. Keluarga yang bersetuju membeli rumah kos sederhana rendah ditawarkan rumah berharga RM72,500 dalam daerah Timur Laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri masih mempertimbangkan unit rumah bersesuaian kepada tiga lagi keluarga.

“Yang hadir dalam rundingan hanya wakil tiga keluarga, yang lain (tiga keluarga lagi) ada buat permohonan dan sedang dipertimbangkan,” katanya.

Jagdeep turut menasihatkan penyewa PPR yang menyedari sudah hilang kelayakan supaya datang berbincang secara sukarela dengan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri akan terus melakukan audit berkala bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dapat menduduki unit PPR.

“PPR mesti diberikan kepada pihak yang betul-betul layak dan golongan susah yang memerlukan bantuan. Saya nasihatkan, kalau ada penyewa PPR sedar mereka sudah hilang kelayakan, datang dan bincang bagaimana kita boleh naik taraf kehidupan mereka,” katanya.

Pada 6 Mac lalu, 22 keluarga diusir dari PPR Taman Manggis selepas didakwa hilang kelayakan menghuni kediaman terbabit.

Susulan itu, enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah yang diusir berteduh di perkarangan KOMTAR yang dijadikan tempat tinggal sementara selama seminggu.

Semua penyewa terbabit bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di PPR Taman Manggis malam tadi dan diberikan tempoh lanjutan selama dua minggu untuk mengosongkan kediaman.

Tindakan itu susulan rundingan wakil penduduk dan kerajaan negeri yang diadakan hampir lima jam di KOMTAR, semalam.

EXCO Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X