Selasa, 12 March 2019 | 5:21pm
Pekebun kecil getah perlu memohon kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) jika mahu membuat tuntutan Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG). - Foto hiasan

Pekebun kecil diminta dapatkan kad PAT-G

KUALA LUMPUR: Pekebun kecil getah perlu memohon kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) jika mahu membuat tuntutan Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata sehingga Disember 2018, seramai 303,452 pekebun kecil di Semenanjung dan 158,747 pekebun kecil di Sabah dan Sarawak telah mendaftar untuk memiliki kad itu.

“Jika pekebun kecil tidak memiliki kad itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk membuat tuntutan skim IPG sekiranya IPG diaktifkan. Malah, kadar tuntutan skim itu juga masih rendah,” katanya menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

LGM telah mengaktifkan IPG bagi bayaran untuk cuplump atau getah sekerap, masing-masing 50 sen sekilogram di Semenanjung, 80 sen sekilogram di Sabah dan 70 sen sekilogram di Sarawak.

IPG diaktifkan pada Januari berikutan harga purata peringkat ladang bagi cuplump bulan itu adalah RM2 sekilogram di Semenanjung, RM1.70 sekilogram (Sabah) dan RM1.80 sekilogram (Sarawak).

Kok berkata kementerian akan berusaha untuk menambah baik proses tuntutan IPG supaya ia dapat dimanfaatkan oleh pekebun kecil di seluruh negara.

Katanya, bermula dari 1 September 2015 sehingga 31 Disember 2018, kerajaan mengeluarkan dana bernilai RM113,368,857.58 bagi 206,897,417 kilogram getah merangkumi 1,042,623 tuntutan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi agensi pelaksana IPG.

"Halangan atau cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan IPG adalah masalah kadar tuntutan IPG masih rendah pekebun kecil tidak tahu mengenai pengaktifan IPG; kesilapan dalam membuat tuntutan; kesulitan dalam menghantar borang tuntutan IPG; dan tidak mempunyai dokumen yang lengkap seperti kad PAT-G, dan resit jualan getah,” katanya.

211 dibaca
Berita Harian X