Isnin, 11 March 2019 | 1:24pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu gejala rasuah terus diperangi kerana ia membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Terus perangi rasuah - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu gejala rasuah terus diperangi kerana ia membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara.

“Beta suka menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional dan menggubal undang-undang berkaitan untuk memperkukuhkan tadbir urus.

“Diharapkan usaha itu dapat memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat pembukaan itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Pembukaan mesyuarat itu adalah yang pertama bagi baginda selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam mengejar kemajuan, integriti dan nilai murni hendaklah dititik beratkan.

Baginda bertitah, rakyat hari ini bukan saja mahukan pembangunan, bahkan sebuah negara yang bersih, telus, bertanggungjawab serta mendaulatkan undang-undang supaya negara ke tahap lebih baik.

“Rakyat juga mahukan kerajaan yang mendengar pandangan dan aspirasi mereka. Maka wajar untuk pemimpin mengambil kira tuntutan rakyat dalam merangka sebarang dasar dan program,” titah baginda.

Dalam masa yang sama baginda mengingatkan semua pihak menjunjung prinsip demokrasi berparlimen supaya ia subur dan utuh.

“Beta menyeru ahli Yang Berhormat memelihara, melindungi dan mempertahankan ketinggian Perlembagaan Persekutuan tanpa kompromi. Sematkan kepentingan rakyat di hati serta berbahas secara tertib dan berhemah di dewan yang mulia ini,” titah baginda.

Baginda turut menghargai sumbangan, jasa dan pengorbanan semua anggota perkhidmatan awam, tentera, polis dan agensi penyelamat serta pertahanan awam.

“Begitu juga rakyat yang telah menyumbang kepada kemakmuran, keselamatan dan kedaulatan negara. Teruskan usaha dan komitmen bagi memastikan pembangunan dan kemajuan dikecapi semua rakyat,” titah baginda.

Berita Harian X