Isnin, 11 March 2019 | 11:18am
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli memeriksa kawalan kehormat ketika majlis Istiadat persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Agong rasmi Penggal Kedua Parlimen Ke-14

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Dataran Parlimen di sini, pagi ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, pada jam 10.10 pagi tadi, disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran.

Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, mencemar duli hadir bagi merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saai

Seri Paduka menerima sembah ‘Hormat Diraja’ daripada Mejar Ahmad Safuan Jaafar yang mengetuai perbarisan kawalan kehormatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Susulan itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD diketuai Mejar Muhammad Nor Azizan Yahya, diiringi 21 das tembakan meriam.

Baginda kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama terdiri daripada 103 anggota dan enam pegawai Batalion Pertama RAMD diketuai Ahmad Safuan, sebelum lagu Negaraku sekali lagi dimainkan.

Selesai istiadat, Al-Sultan Abdullah diiringi ke Bilik Diraja untuk bergambar sebelum ke Dewan Rakyat bagi menyampaikan titah ucapan perasmian.

Istiadat pembukaan itu turut dihadiri anggota Kabinet, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, perwakilan luar serta tetamu jemputan lain.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari bermula hari ini sehingga 11 April, manakala Dewan Negara pada 22 April sehingga 9 Mei selama sembilan hari.

Berita Harian X