Ahad, 10 March 2019 | 12:15pm
AHLI Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh ketika sidang media sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran FAMA, LPPKN dan pejabat Ahli Parlimen Kuantan. - NSTP/Zulkepli Osman

Berhenti cari alasan - Fuziah

KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh meminta Lynas Corporation Ltd (Lynas) berhenti mencari alasan, sebaliknya memikirkan kaedah menghantar sisa buangan kilang itu ke Australia, September depan.

Beliau berkata, Lynas sepatutnya sedia maklum serta jelas dengan saranan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), sekali gus tidak menimbulkan isu bahawa penyelidikan perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap sisa ‘Water Leached Purification’ (WLP) dihasilkan kilang itu.

“Tidak perlu pun (penyelidikan) dilakukan terhadap WLP, ia adalah sisa radioaktif dan MESTECC sudah mengeluarkan arahan bahawa mereka (Lynas) mesti menghantar kembali ke negara asal (Australia),” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas program Santuni Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Pasar Tani Mega Kuantan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Lynas dalam laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) mendakwa berjaya menghasilkan bahan asas jalan dan produk perapi tanah dikenali sebagai CondiSoil daripada sisa atau bahan buangan selepas nadir bumi diproses di kilang miliknya yang terletak di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini.

Lynas juga dikatakan sedia mengkomersialkan produk itu sebaik sahaja menerima kelulusan untuk Pengurusan Khas Sisa Terjadual daripada Jabatan Alam Sekitar.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Fuziah berkata, Lynas tidak sepatutnya terus berdolak-dalik dan mengaburi pemahaman masyarakat terhadap isu sebenar yang membabitkan alam sekitar.

“Saya fikir, lebih baik Lynas menerima hakikat bahawa mereka cuma ada enam bulan lagi untuk menyelesaikan masalah ini. Sekarang bukan masa hendak mencari alasan atau bercakap mengenai itu dan ini yang tidak ada kaitan pun dengan saranan MESTECC.

“Pihak MESTECC sudah melakukan yang terbaik untuk membantu Lynas menghantar balik sisa buangan kilang itu ke Australia,” katanya.

Berita Harian X