Jumaat, 8 March 2019 | 6:43pm
Highland Towers dijangka akan dirobohkan selewat-lewatnya Jun tahun ini bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan berkenaan. - Arkib NSTP

Roboh Highland Towers selewat-lewatnya Jun - Zuraida

PUTRAJAYA: Highland Towers yang terbiar sejak 26 tahun lalu dijangka akan dirobohkan selewat-lewatnya Jun tahun ini bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers sedang meneliti pihak mana yang mempunyai punca kuasa merobohkan bangunan berkenaan.

“Setakat ini, maklumat terkini yang saya terima, jawatankuasa itu sedang meneliti punca kuasa pihak mana antara Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mempunyai kuasa untuk merobohkan bangunan berkenaan.

“Semua laporan sudah siap, cuma kini sedang meneliti pihak mana antara dua agensi itu yang mempunyai kuasa merobohkan.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - NSTP/Danial Saad

“Selain itu, pihak pemaju juga sudah menyuarakan hasrat mereka untuk menyumbangkan dana kira-kira RM2 juta bagi kerja perobohan itu.

“Saya harap perobohan itu dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Jun tahun ini,” katanya pada sidang media ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 Peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Zuraida mencadangkan Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.

Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Dalam pada itu, berhubung Hari Wanita Peringkat Antarabangsa, beliau berkata, tema sambutan yang dipilih untuk tahun ini iaitu ‘Seimbang Untuk Kesejahteraan’ adalah amat sesuai kerana pembabitan wanita yang seimbang dengan lelaki dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pendidikan amat penting dalam menentukan agenda pembangunan sesebuah negara.

838 dibaca
Berita Harian X