Jumaat, 8 March 2019 | 6:10pm
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Haram guna tanah wakaf tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR: Haram memakan hasil atau menggunakan tanah wakaf tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), kata Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Beliau berkata, tanah wakaf ialah sedekah diserahkan orang perseorangan kepada pentadbiran MAIN, untuk diuruskan atau diagihkan manfaatnya kepada semua umat Islam.

Katanya, tanah wakaf tidak boleh digunakan untuk kepentingan individu, antara lain, bercucuk tanam, mengadakan kenduri atau mendirikan bangunan komersial atau rumah tanpa kebenaran MAIN.

“Tidak boleh (salah guna tanah wakaf). Haram hukumnya kalau tanah wakaf digunakan tanpa kebenaran (MAIN).

“Berdosa kalau makan hasil tanah wakaf. Hasilnya haram. Sebab itu kena belajar fardu ain,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, bagaimanapun orang ramai boleh menggunakan atau makan hasil tanah wakaf, jika sekiranya, ada perjanjian berbayar dipersetujui bersama MAIN.

Katanya, syarat dan urusan perjanjian tertakluk kepada bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Tanah Wakaf atau Enakmen Pentadbiran Tanah Wakaf kerajaan negeri.

“Tanah wakaf termaktub di bawah undang-undang Islam negeri. Terpulang kepada pentadbiran MAIN untuk menentukan syarat pengurusan tanah wakaf.

“Tetapi, apabila sudah diserahkan sebagai tanah wakaf, waris tidak boleh menuntut kembali. Haram kerana wakaf ialah sedekah. Dan, pahala sedekah akan dihisab sehingga kiamat,” katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berpandangan isu tanah wakaf perlu dibincangkan secara terperinci di antara Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia atau Jawatankuasa Pengurusan Wakaf negeri.

“Kalau tanah wakaf digunakan untuk tujuan bermanfaat, dibolehkan. Sebagai contoh, tanah wakaf Darul Ilmi, di Sungai Penchala. Tuan tanah berniat wakaf tanah berkenaan. Sekarang beliau masih tinggal di salah satu rumah yang diwakafkan, manakala satu lagi ditadbir oleh Jabatan Agama Islam.

“Bagaimanapun, setiap kes perlu dirujuk mengikut syarak, kepada Majlis Agama Islam negeri masing-masing untuk kemaslahatan umat Islam,” katanya.

Mengulas sama ada waris dibenarkan menuntut semula tanah wakaf, Zulkifli berkata, waris hanya dibenarkan untuk membeli semula tanah wakaf, dengan syarat tertentu, yang dipersetujui atau dengan pertimbangan MAIN.

Katanya, ia susulan ada tanah wakaf yang tidak sesuai untuk tujuan komersial atau pembangunan kerana ruang sempit atau ada halangan pembinaan.

Berita Harian X