Jumaat, 8 March 2019 | 4:25pm

Kerajaan negeri, penyewa PPR Taman Manggis perlu bincang - Zuraida

BUTTERWORTH: Kerajaan negeri dan penyewa unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown, yang diusir dari kediaman itu, disaran mengadakan pertemuan bagi membincangkan sebarang perkara berbangkit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata pertemuan itu perlu dilakukan secara tertutup, tanpa membabitkan campur tangan pihak lain supaya penyelesaian terbaik dapat dimuktamadkan.

“Kita mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama penduduk dengan baik tanpa diganggu pihak lain untuk mengenal pasti punca dan keadaan sebenar masalah.

“Mengikut penjelasan EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo mereka semua diusir kerana melanggar beberapa syarat ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP),” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemelut yang dihadapi 22 penyewa PPR Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin, yang diusir dari kediaman itu pada Rabu lalu, dengan enam keluarga yang membabitkan kira-kira 40 ahli keluarga kini berteduh di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).


Sebahagian penyewa PPR Taman Manggis 'berkampung' di pekarangan KOMTAR. - NSTP/Mikail Ong

Ditanya sama ada isu itu berpunca daripada kekurangan PPR di Pulau Pinang, Zuraida berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan pembinaan baharu di Gelugor, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

“Kita juga akan mempertimbangkan untuk menggunakan skim sewa beli bagi penduduk yang menetap di unit PPR berkenaan, berbanding skim sewa bulanan dikenakan kerajaan negeri.

“Ia juga adalah langkah untuk mendidik isi rumah berpendapatan rendah (B40) supaya dapat menguruskan kewangan dengan baik dan memiliki rumah sendiri,” katanya.

693 dibaca
Zuraida (tengah) ditemui media selepas menyampaikan ucapan perdana sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 peringkat Pulau Pinang di SP Arena Seberang Jaya. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X