Rabu, 6 March 2019 | 10:05pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sifatkan kerjasama antara UMNO dan PAS ketika ini menjurus kepada usaha untuk mengembalikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin serta menghalalkan jenayah didakwa dilakukannya. - Foto BERNAMA

Kerjasama UMNO, PAS untuk kembalikan Najib - Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama antara UMNO dan PAS ketika ini menjurus kepada usaha untuk mengembalikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin serta menghalalkan jenayah didakwa dilakukannya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri melontarkan persoalan kepada PAS adakah parti itu menganggap Najib yang berdepan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, sebagai tidak bersalah.

“Adakah PAS anggap Najib yang menghadapi tuduhan rasuah dan salah guna kuasa tidak bersalah? Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salahguna kuasa serta jenayah boleh dihalalkan?

“Apakah ini pembohongan yang wajib? Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh mahkamah belum dapat diadakan. Adakah PAS akan terima Najib sebagai pemimpin jika dia didapati bersalah?” katanya dalam catatan blognya, chedet.cc, hari ini.

Semalam, UMNO dan PAS mengumumkan secara rasmi mereka akan bekerjasama sebagai pembangkang dengan agenda utama ke arah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi mandat kepada pimpinan tertinggi PAS bekerjasama dengan UMNO bagi mencari titik pertemuan antara kedua-dua parti.

Selain itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut memberi amaran kepada PAS supaya sedar nilai yang diterap hasil bekerjasama dengan Najib serta UMNO pada waktu ini.

Ini kerana, katanya, Najib menggelar dirinya dan digelar oleh pengikutnya sebagai ‘boss’ yang tidak perlu berasa malu.

“Apakah PAS bersedia menjadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri. Sudah gugurkah PAS perasaan malu apabila menerima Najib sebagai ‘boss’,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beberapa pemimpin PAS datang menemuinya dan menyerahkan dokumen akujanji akan menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri.

“Pemimpin PAS kata tidak akan berkempen sokong Barisan Nasional (BN) di Semenyih, tetapi pada hari penamaan calon, ramai pemimpin PAS hadir bersama pemimpin BN.

“PH tidak gentar melihat gabungan PAS dan UMNO. Ia memberi banyak isu dan peluang mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan menjadi wajib bagi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kerjasama PAS dan UMNO agak menarik kerana asas perpecahan dan penubuhan PAS dulu belum selesai.

Katanya, ulama UMNO keluar parti untuk menubuhkan PAS kononnya kerana Islam, bahkan ketika kepemimpinan UMNO, antara sebab penggabungan kerjasama UMNO dan PAS tidak berlaku kerana PAS mengkafirkan UMNO.

“PAS tidak pernah menarik balik ‘fatwa’ itu, sudahkah PAS ‘Islamkan’ UMNO? Keduanya, PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dulu kerana UMNO mengamalkan perlembagaan dituduh sekular dan kafir.

“Ini antara asas ‘Amanat Haji Hadi’ yang membawa kepada sembahyang dua imam, tidak mahu makan sembelihan orang UMNO, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang PAS jika sudah disembahyangkan orang UMNO, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO, mengharamkan isteri mengundi UMNO dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi.

“Adakah semua larangan dan amalan ini ditarik balik atau diarah dihentikan,” katanya.

Berita Harian X