Rabu, 6 March 2019 | 11:45am

Eksklusif: RM7 bilion pulihkan FELDA

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyuntik RM7 bilion untuk memulihkan FELDA yang kini menghadapi masalah aliran tunai dan bebanan hutang yang tinggi.

Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Yusof Noor, berkata modal sebanyak itu akan dapat memulihkan FELDA agar kembali kukuh seperti zaman kegemilangannya yang mempunyai aliran tunai antara RM2.5 bilion hingga RM5 bilion setahun.

Beliau yang menerajui FELDA dari 2001 hingga 2010, berkata kerajaan perlu menyuntik modal itu jika mahu menyelamatkan FELDA, seterusnya membela nasib peneroka yang kini tertekan dengan masalah dihadapi agensi berkenaan.

Katanya, dengan suntikan modal RM7 bilion, FELDA boleh bertahan untuk tempoh lima hingga enam tahun lagi sebelum kembali mencipta kejayaan yang pernah dikecapi sepanjang 50 tahun penubuhannya.

“Sekiranya kerajaan tidak mampu, suntikan modal itu boleh diperoleh daripada mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain atau dari gabungan mana-mana agensi dalam negara.

“Namun, jangan sekali-kali mendapatkan bantuan atau suntikan modal daripada institusi luar yang hanya akan membebankan lagi FELDA pada masa depan,” katanya pada temu bual eksklusif bersama BH di pejabatnya di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di sini, semalam.

Suntikan modal tangani masalah aliran tunai

Yusof berkata, suntikan modal berkenaan bagaimanapun hanya dapat menyelesaikan aliran tunai, manakala pemulihan juga perlu dibuat ke atas pengurusan FELDA secara keseluruhannya dalam pelan pemulihan agensi berkenaan.

“Sepatutnya, dalam menjejaki usia 60 tahun penubuhannya, FELDA sudah ada RM10 bilion masa kini, tetapi hal sebaliknya berlaku. Untuk kumpul RM1 bilion pusingan modal pun tidak mampu... saya faham kesulitan dihadapi kerajaan hari ini, namun apa pun, kerajaan perlu beri geran kepada FELDA dan rancang kembali seperti ketika penubuhannya dulu.

“Kerajaan terpaksa bantu,” katanya sambil menambah, kepercayaan dan semangat serta budaya kerja FELDA ketika zaman kegemilangan agensi itu perlu dikembalikan dengan mengambil kira kebajikan kakitangan dan warga peneroka.

“Semangat dan budaya kerja FELDA sebelum wujudnya FGV Holdings Berhad perlu dikembalikan, lebih-lebih lagi membabitkan kakitangan di ibu pejabat dan pejabat FELDA negeri, daerah serta kawasan, termasuk pengurus rancangan kawasan dan peneroka. Aspek ini perlu diambil kira,” katanya.

Beliau juga mahu semua pelaburan bakal dibuat FELDA perlu melalui jawatankuasa khas pelaburan yang dianggotai profesional, bukan berdasarkan keputusan pengerusi atau ahli lembaga FELDA sahaja.

“Ketika saya menerajui FELDA, setiap pelaburan dibuat melalui jawatankuasa khas pelaburan dan pertimbangan kita bukan hanya keuntungan semata-mata, tetapi juga kebajikan dan pulangan yang memberi manfaat kepada peneroka. Kita tidak akan akan melabur dalam pelaburan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai hutang peneroka yang dilaporkan mencecah RM7.5 bilion dan berkata, perkara itu tidak memberi masalah kepada FELDA jika agensi berkenaan mempunyai aliran tunai.

“Ini (hutang) menjadi masalah bukan kerana peneroka tidak bayar balik pinjaman, tetapi kerana FELDA kini hampir tiada aliran modal,” katanya.

Amal prinsip integriti

Berdasarkan pengalamannya bersama FELDA, beliau percaya agensi itu boleh dipulihkan dan mempunyai aliran tunai yang tinggi jika amalan pentadbiran serta pengurusan berjalan mengikut prinsip tadbir urus yang baik dan berintegriti.

Yusof juga mengakui terkilan dengan pengurusan FELDA selepas beliau meninggalkan agensi itu pada 2010 sehingga berjaya mencipta kejayaan untuk 50 tahun pertama penubuhannya apabila tidak lagi mempunyai apa-apa hutang dengan mana-mana agensi dan institusi kewangan.

Lebih manis lagi, katanya, jumlah aliran tunai agensi itu tidak pernah kurang daripada RM2.5 bilion setahun, hinggakan satu ketika, FELDA pernah membantu beberapa kerajaan negeri membina infrastruktur dan membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan di luar bandar.

Pendedahan mengenai hutang peneroka sebanyak RM7.5 bilion dan masalah aliran tunai yang kritikal dihadapi FELDA mengejutkan banyak pihak termasuk pengurusan terdahulu agensi itu. Ikuti temu bual eksklusif wartawan BH, ROHANIZA IDRIS bersama bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Yusof Noor mengenai isu itu.

Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Yusof Noor di PERKIM, Jalan Ipoh. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dulu FELDA tiada masalah aliran tunai

S: Apa pandangan Tan Sri dengan perkembangan terbaru FELDA yang kini dikatakan tidak mempunyai aliran tunai?

J: Saya mendapat maklumat masalah FELDA ini melalui berita di media massa, selain maklumat disampaikan terus melalui teman di FELDA. Memang banyak perkara mengenai FELDA menyebabkan saya tertanya-tanya mengapa perkara yang meruncing ini berlaku. Saya menerajui FELDA pada 2001 hingga 2010, dan tugas yang saya jalankan sangat mencabar kerana menyambung kejayaan yang sudah dicapai kepemimpinan FELDA terdahulu di bawah Tan Sri Taib Andak dan Tan Sri Raja Muhamad Alias Raja Ali. Mereka memberi perkhidmatan yang baik dan mengukuhkan operasi dari segi kewangan, perkembangan dan pelbagai sudut. Paling mencabar untuk saya menerajui FELDA, bagaimana saya boleh mengekalkan kejayaan yang sedia ada, paling penting kalau tidak boleh buat lebih baik tetapi mengekalkan kejayaan yang ada.

S: Bagaimana dengan kedudukan FELDA ketika itu?

J: FELDA agensi yang sudah pun berdikari ketika itu di bawah pentadbiran dan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri Keempat). Kerajaan ketika itu tidak memberi apa-apa bantuan kepada FELDA. Sebelum itu, kerajaan membantu pentadbiran FELDA dan sebagai pemudah cara dalam urusan mendapatkan tanah dari kerajaan negeri. Di sini perlu difahami bahawa FELDA tidak pernah mendapat tanah secara percuma daripada mana-mana kerajaan negeri. Semua dibayar pada kadar munasabah ketika itu seperti diperoleh orang lain. Apa pun semua bayaran tanah ini sudah dilunaskan oleh FELDA.

S: Pernahkah FELDA meminjam daripada mana-mana institusi kewangan atau bantuan kerajaan?

J: FELDA ada buat pinjaman daripada Bank Dunia, sebahagiannya di bawah pinjaman Kerajaan Pusat. Ketika saya menerajui FELDA pada 2001, FELDA tiada satu hutang pun dengan institusi kewangan. FELDA sudah melangsaikan semua hutang itu lebih awal daripada tempoh matang pinjaman. Malah, FELDA menjadi satu-satu agensi yang ditubuhkan kerajaan di dunia yang berjaya melangsaikan hutang lebih awal daripada tempoh matang pinjaman.

S: Apakah kejayaan FELDA sepanjang Tan Sri menerajui agensi ini?

J: Alhamdulillah semua berjalan baik dan tunai dimiliki FELDA adalah RM2.5 bilion hingga RM5 bilion sepanjang saya berada di situ. Ini dapat saya pertahankan dan segala bayaran kepada kontraktor dan peneroka berjalan dengan baik. Kita tidak ada masalah aliran tunai. Tidak perlu saya cerita apa yang saya sudah buat, tetapi reaksi peneroka sangat baik dan sentiasa jadi contoh kepada agensi lain. FELDA tiada masalah kewangan dan rancangan pembangunan berjalan baik dan kita juga menolong kerajaan negeri. FELDA tidak lagi menerima apa-apa geran daripada kerajaan. Jumlah yang diberikan kepada kerajaan negeri bukan sedikit, mencecah ratusan juta dan ada negeri kita beri 30 peratus keuntungan operasi FELDA di negeri itu. Kemuncak kejayaan FELDA, kita teruskan FELDA di kawasan bandar bukan hanya luar bandar. Kita membangunkan Menara FELDA sebagai simbol kejayaan sepanjang 50 tahun penubuhannya selaras hasrat pengasas FELDA yang juga Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang mahu FELDA bukan hanya dilihat di luar bandar tetapi di bandar. Pembinaan Menara FELDA adalah simbol kejayaan 50 tahunnya yang kita tidak menggunakan duit pinjaman tetapi wang FELDA sendiri. Kita rancang bina Menara FELDA untuk sewaan syarikat multinasional supaya ada pendapatan tambahan dan menjadi aset kita sendiri.

S: Apakah yang mengejutkan Tan Sri selepas meninggalkan FELDA?

J: Antara yang paling mengejutkan apabila Menara FELDA itu digunakan sendiri oleh warga FELDA dan dijadikan ibu pejabat berbeza dengan rancangan asal kita menjadikannya aset untuk menambahkan pendapatan FELDA. Jika diduduki sendiri, maka tiada pendapatan diperoleh dan menyebabkan kita mengeluarkan duit untuk penyelenggaraan dan sebagainya. Saya fikir ini menyebabkan masalah aliran tunai ini. Harta yang sepatutnya menjadi punca pendapatan tetapi digunakan sendiri yang menambahkan beban operasi. Saya tidak terfikir daripada RM2.5 hingga RM5 bilion tiba-tiba setahun dua tahun saja, ia sudah hilang. Ini meninggalkan tanda tanya dan ini sangat mengejutkan kerana sepanjang 10 tahun saya di sana, ini tidak berlaku. Saya rasa hairan dan ini perlu dijawab oleh pengurusan FELDA ketika itu. Satu lagi mengejutkan, pengapungan semua 14 anak syarikat FELDA untuk disenarai awam. Memang dalam perancangan kita untuk senarai awam ini tetapi dengan mengapungkan dua tiga syarikat saja bukan kesemuanya. Selain FELDA, kita ada FELDA Holdings yang pegangan sahamnya dimiliki peneroka melalui Koperasi Permodalan FELDA yang memberi pendapatan tidak kurang RM1bilion setahun. Sebab itu, FELDA sangat kukuh dan tidak memerlukan bantuan kerajaan. Ada ketika, pada masa harga kelapa sawit meningkat kita memperoleh RM2 bilion setahun. Keuntungan itu lebih daripada mencukupi bagi menampung kos operasi FELDA yang kita peruntukan RM1bilion setahun. Kos FELDA memang besar berbanding bajet sesetengah kerajaan negeri ketika itu. Ketika itu, FELDA juga mampu memberi pembiayaan pendidikan dan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di universiti terbaik dunia.

S: Bagaimana dengan pelaburan FELDA ketika itu?

J: Pada zaman saya, kita ada jawatankuasa pelaburan yang bertanggungjawab meluluskan semua pelaburan yang ingin kita buat. Kita memang banyak duit ketika itu, namun FELDA sangat berhati-hati dan melabur dalam pelaburan yang tidak berisiko. Jika ada keraguan selepas dikesan kumpulan profesional yang dilantik untuk menilai, maka pelaburan jawatankuasa pelaburan akan tolak. Begitu juga keraguan mengenai keuntungan tidak diperoleh dalam tempoh tujuh tahun pun, jawatankuasa itu tolak. Sasaran kita pulangan pelaburan perlu diperoleh dalam tempoh tujuh tahun untuk balik modal dan selepas tahun kelapan sudah mendapat keuntungan. Itu sebab, FELDA selamat sampai ke-50 tahun penubuhannya. Kita membuat perancangan dengan begitu teratur dan tiada langsung terbabit dengan pelaburan berisiko. Semua yang kita rancangkan berdasarkan pandangan profesional termasuk isu menyenaraikan FELDA di bursa saham. Namun, selepas saya meninggalkan FELDA pada 2011 semua syarikat diapungkan bukan dua syarikat yang pada awalnya dipersetujui. Pengapungan semua syarikat mengorbankan aset FELDA. FGV Holdings Berhad (FGV) ditubuhkan selepas menjadi syarikat senarai awam. Ia bukan lagi milik FELDA tidak seperti ketika punyai FELDA Holdings dulu. Sepatutnya kek keuntungan lebih besar selepas FGV disenarai awam tetapi ini tidak berlaku, sebaliknya FELDA rugi. Saya percaya ada kaitan dengan kelemahan pengurusan. Banyak persoalan yang kabur dengan penyenaraian FGV ini. Satu yang menyedihkan saya apabila ada bangunan FELDA yang tidak sepatutnya dirobohkan, telah dirobohkan sedangkan yang dirancang untuk dirobohkan masih dibiarkan. Ini satu yang menghairankan, mengapa bangunan lama, Anjung FELDA tidak diruntuhkan walaupun sudah uzur. Ini menyebabkan warga FELDA berpindah ke Menara FELDA yang menambah jumlah kos operasi. Di sini, saya percaya sebab mengapa FELDA menghadapi masalah aliran tunai kini. Selain itu, pendapatan diperoleh daripada FGV hanya sekitar RM300 juta. Bermakna FELDA kehilangan RM700 juta setahun sedangkan sebelum ini sudah ada pendapatan RM1 bilion daripada Felda Holdings yang kita gunakan untuk menampung kos operasi FELDA.

S: Berapa kos yang diperlukan untuk operasi sebenar FELDA?

J: Kos operasi FELDA adalah sekitar RM1 bilion dan RM300 juta ini sebenarnya hanya kos untuk baja sawit, itu sebab FELDA sekarang tidak ada aliran tunai. Jika ada program tanam semula bagi pokok berusia 20 tahun, kita memerlukan RM600 hingga RM700 juta. Program ini perlu dilaksana, jika tidak hasil tidak begitu baik dan tiada hendak beli kelapa sawit kita. Apabila tanam semula dibuat, FELDA belanjakan duitnya untuk membayar elaun sara hidup selepas peneroka tiada hasil. Ini pendahuluan daripada FELDA yang dikatakan hutang ditanggung peneroka. Bagaimana pula kita mahu memenuhi pembangunan masyarakat peneroka yang memerlukan rumah lebih baik, peluang perniagaan menerusi bantuan FELDA dan membiaya pendidikan anak mereka.

S: Dalam pengetahuan Tan Sri berapa banyak agaknya kerugian FELDA ini?

J: Setahu saya FELDA kehilangan aliran tunai sebanyak RM2.5 bilion tidak termasuk simpanan di bank dan saham. Saya tidak tahu berapa baki yang tinggal sekarang, ada ke tidak ada. Saya kecewa dengan apa yang berlaku bukan hanya saya seorang sahaja tetapi mereka yang turut terbabit dengan pembangunan FELDA, semua kecewa kerana kumpulan wang FELDA bukan wang kerajaan sebaliknya hasil keuntungan pengurusan ladang yang baik, cekap dan komitmen peneroka yang tinggi. FELDA adalah salah satu agensi kerajaan yang bermula dari 'zero' atau kosong iaitu tiada duit langsung. Malah, ada agensi lain milik kerajaan yang sehingga hari ini masih bergantung dengan duit kerajaan walaupun kedudukan mereka sama dengan FELDA seperti RISDA dan FELCRA. FELDA tiada bantuan dari kerajaan sehingga masalah ini timbul. Bagaimanapun sekarang ini FELDA memperoleh pendapatan menerusi FGV hanya sekitar RM300 juta sahaja. Jadi mahu tidak mahu kerajaan mungkin terpaksa tolong dan menyebabkan ini antara sebab kenapa kerajaan mengalami kesulitan kerana pendapatan kita sekarang hanya RM300 juta sahaja dan kerajaan perlu tambah RM700 juta setiap tahun kepada FELDA untuk menampung kos operasi sahaja.

S: Bagaimana dengan cadangan hutang peneroka dijadikan aset FELDA semula?

J: Sekarang ini FELDA tidak dapat bayar hutang kerana tiada duit dan aset serta bergantung kepada pendapatan operasi ladang, tetapi sekarang ini semua ladang berkenaan diuruskan oleh FGV, iaitu syarikat senaraian awam. Jadi apabila FGV mahu memberi dividen mereka tidak boleh beri hanya kepada peneroka sahaja, malah semua pemegang sahamnya kerana mereka adalah syarikat senaraian awam. Macam mana kita katakan hutang nak jadikan aset kerana FELDA tiada wang sendiri. Kecuali jika FELDA atau FGV tidak memberi baja kepada lebih 400,000 hektar ladang milik peneroka, soalnya apa akan terjadi kepada hasil kelapa sawit selepas dua tahun maka kita tidak akan mempunyai pendapatan langsung. Jadi kita perlu memberikan baja jika mahu mendapatkan hasil kelapa sawit yang baik.

S: Ada cadangan supaya FELDA mengoptimumkan tanah rizab miliknya?

J: Dalam keadaan sekarang sukar membangunkan tanah rizab ini kerana perlukan modal. Tanah 300,000 hektar sudah jadi milik FGV yang disenarai awam, sepatutnya FGV boleh membangunkannya tetapi ia tidak berlaku. Saya nampak di sini pengurusannya lemah dan banyak perbelanjaan untuk pembangunan korporat. Dulu kepentingan kita adalah kebajikan peneroka, menyediakan dana membaiki rumah dan sebagainya.

Berita Harian X