Isnin, 4 March 2019 | 2:51pm
SETIAUSAHA SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar. - Foto Rosela Ismail

Mesyuarat khas DUN Rantau Rabu ini - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, Negeri Sembilan, Rabu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun di ibu pejabat SPR di sini.

“Mesyuarat akan membincangkan mengenai tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

499 dibaca
Berita Harian X