Ahad, 3 March 2019 | 7:53pm

Kekal IPG Kota Bharu jadi pusat latihan antarabangsa

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan yang membuat keputusan mengekalkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, mahu institut itu menjadi pusat melatih guru sehingga peringkat antarabangsa.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan membatalkan usaha kerajaan terdahulu yang mahu IPG itu ditukar fungsi kepada kolej vokasional, dibuat selepas melihat banyak pandangan dan keperluan untuk diteruskan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan cakna pandangan masyarakat yang mahu IPG Kota Bharu diteruskan memandangkan pusat pendidikan berkenaan sudah melahirkan puluhan ribu guru.

“Namun, kita melihat IPG Kota Bharu perlu menambah peranan menjadi pusat latihan bukan saja kepada guru di negara ini, malah mereka dari Selatan Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

“Ketika ini, IPG ini sudah memberi latihan kepada 30 guru dari Selatan Thailand melalui kursus pendek secara berkala dengan kerjasama Jabatan Bahasa mereka.

“Jadi ini adalah visi kementerian mahu menjadikan taraf IPG Kota Bharu sehingga peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan nilai ekonomi kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor dan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Hashim Deraman.

Maszlee turut mengumumkan peruntukan lebih RM1 juta untuk membaik pulih, penyelenggaraan dan membaiki kerosakan di empat sekolah masing-masing Sekolah Kebangsaan (SK) Chantum sebanyak RM130,000; SK Pa Pura RM463,200; SK Seri Kemudi RM479,600 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor RM30,000.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, dalam tempoh terdekat, kementerian mahu meningkatkan kualiti pensyarah dan guru di IPG Kota Bharu dengan mengadakan lebih banyak latihan perkhidmatan.

“Alasan utama kerajaan terdahulu mahu IPG Kota Bharu ditutup disebabkan tiada kemasukan cukup selain pentadbiran lama mendakwa pusat pendidikan berkenaan tidak berkualiti.

“Kalau kualiti tidak cukup, kita cuba tingkatkan. Sebab itu kita mahu IPG Kota Bharu bertaraf seperti Universiti International Singapura melalui sokongan pensyarah IPG dengan menukar budaya dan sistem supaya kualiti mereka ditingkatkan.

“Satu lagi alasan mereka adalah IPG ada peruntukan lebih, namun banyak kelas kosong. Tapi kita boleh fikirkan kelas berkenaan diguna oleh pelajar vokasional yang mungkin boleh bergabung dengan IPG,” katanya.

MASZLEE (dua, kanan) menghadiri Majlis Kesyukuran Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) di Pengkalan Chepa. - Foto Bernama
Berita Harian X