Sabtu, 2 March 2019 | 12:46pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Aizuddin Saad

Dr Mahathir setuju VOA dilaksana di Langkawi - MoTAC

LANGKAWI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara dasarnya bersetuju Visa Ketibaan (VOA) dilaksanakan di Langkawi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi baru-baru ini.

“Saya sudah berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan VOA ini untuk diadakan di Langkawi, beliau bersetuju dengan cadangan itu. Selepas ini saya akan tulis surat pula kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (berkenaan cadangan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Khas Pelancongan SFT3 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Haslina berkata MoTAC sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan mengadakan VOA di Langkawi.

“Dalam perbincangan itu, kita kemukakan cadangan pelaksanaan VOA ini, perkembangan perbincangan itu sangat positif dan VOA itu dalam perancangan seperti yang dikatakan oleh menteri tadi,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X