Isnin, 25 Februari 2019 | 3:50pm
TUN Dr Mahathir Mohamad (dua dari kanan) melawat kawasan kilang Metrod Holdings Bhd selepas merasmikan kilang tersebut di Bukit Raja Prime Industri Park. - Foto BERNAMA

ECRL akan diteruskan kalau harganya sesuai - PM

KLANG: Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) hanya akan diteruskan sekiranya harga yang ditawarkan bersesuaian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ketika ini Malaysia tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

Beliau berkata, Malaysia berharap untuk mengeluarkan perbelanjaan kurang daripada kos yang ditawarkan iaitu lebih RM55 bilion.

Dr Mahathir berkata, bukan kerajaan tidak mahu meneruskan projek itu kerana ketika ini kerajaan tidak mempunyai wang berkenaan.

“Kos projek kereta api ini sangat mahal. Lebih daripada RM55 bilion, kita perlu 30 tahun untuk membayar balik pinjaman dan kita akan dibebankan dengan faedah yang banyak dan akhirnya membayar sehingga RM140 bilion.

“Kita tidak mampu. Justeru, kita sedang cuba mengurangkan kos atau kita perlu menangguhkan projek itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rundingan yang akan diadakan antara Kerajaan Malaysia dengan kontraktor ECRL, China Communications Construction Company (CCCC), dijadualkan minggu ini.

Perdana Menteri ditemui pada sidang media selepas merasmikan loji pembuatan batang tembaga (copper rod) milik Metrod Holdings Berhad di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas Metrod, Apurv Bagri; Pengerusi Metrod Holdings Berhad, Datuk Abu Hassan Kendut dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Metrod Holdings Berhad, Rajan Mittal.

Dr Mahathir berkata, kerajaan kini perlu membelanjakan kewangan negara dengan baik berikutan hutang yang banyak termasuk yang membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Katanya, semua hutang berkenaan ditanggung sejak pentadbiran sebelum ini.

“Dan sekarang, sudah tentu mereka (pembangkang) memberitahu kita bagaimana nak mentadbir negara, tetapi ketika mereka mentadbir negara, mereka tidak melakukan kerja yang baik, mereka menanggung begitu banyak hutang yang menyebabkan negara perlu membelanjakan semua pendapatan untuk membayar hutang atau kita mungkin dikenakan tindakan muflis,” katanya.

Berita Harian X