Isnin, 25 Februari 2019 | 1:39pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian Kesihatan bincang dasar wajibkan suntikan vaksin - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengakui sukar untuk mewujudkan satu dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan kepada rakyat.

Namun, katanya, kementerian sedang giat berbincang pada peringkat dalaman dan luaran bagi mewujudkan dasar yang dapat memastikan setiap kanak-kanak mendapat suntikan imunisasi vaksin pada masa depan.

Jelas beliau, kementerian juga tidak berputus asa berusaha memberi kesedaran dan menggalakkan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin imunisasi sebagai langkah awal pencegahan penyakit.

“Yang penting bukan undang-undang saja, tetapi tetapi kesedaran dan keinsafan ibu bapa untuk tahu yang kesihatan dan keselamatan anak mereka terdedah kepada risiko penyakit jika tidak diberi suntikan vaksin.

“Kalau mereka yang mengambil mudah, kena sedar anak mereka akan mudah menjadi punca kepada penyakit.

“Saya tahu bukan senang hendak buat program untuk menjadikan suntikan vaksin ini mandatori dan wajib sebab ada ibu bapa yang guna pelbagai hujah serta alasan bagi menolaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Codex Mengenai Minyak dan Lemak (CCFO) ke-26 di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan menerusi vaksin di negara ini.

Ketika ini, lima kes kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria dikesan di Johor Bahru dan pada Selasa lalu, seorang kanak-kanak yang tidak menerima suntikan vaksin meninggal dunia akibat jangkitan difteria.

Dr Dzulkefly berkata hasil perbincangan yang diperoleh kementerian akan dibincangkan pada peringkat pasca kabinet kementerian minggu ini dan jika ia mendapat sokongan, ia akan dibawa ke peringkat Kabinet pula.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet, tetapi belum diputuskan bila,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementerian masih belum mengiktiraf peranan doula dan meminta kelompok yang menjadi doula tampil ke kementerian memberi maklum balas mengenai amalan itu.

“Kita perlu adakan perbincangan dengan mereka secara langsung sebab akhirnya jika kita benar-benar mahu mengizinkan amalan doula, ia mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab, ada prosedur operasi standard (SOP) dan syarat khas.

“Apa yang kita mahu pada akhirnya ialah ia tidak menimbulkan kemudaratan kerana menyentuh kesihatan dan nyawa manusia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dinaik taraf menjadi Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara.

“Proses menaik taraf ini dijangka diluluskan pada sidang Dewan Rakyat pada bulan depan,” katanya.

Berita Harian X