Ahad, 24 Februari 2019 | 10:02pm
Dr Sahruddin (dua dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Johor 2019 di Johor Bahru. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini

Johor sokong syor wajibkan vaksin

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyokong cadangan mewajibkan pengambilan suntikan vaksin sebagai perlindungan kepada kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata wujud keperluan memberi penekanan mengenai keperluan semua kanak-kanak diberi suntikan berkenaan.

“Sekarang banyak kes jarang berlaku dan sudah ada di Johor, cuma kita jarang jumpa.

“Kita menyokong langkah Kementerian Kesihatan mahu mewajibkan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak atau mendenda mereka yang mengelak anaknya diberi vaksin.

“Pakar dan doktor mahu semua orang ambil vaksin, maka kenapa ada yang tidak mahu ambil” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat Johor 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Datuk Dr Mohd Khairi Yakub.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata, pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Beliau dilaporkan berkata, kementerian mendapat desakan kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Khamis lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di sini, meninggal dunia akibat jangkitan difteria yang mana mangsa tidak pernah menerima suntikan imunisasi sejak dilahirkan.

Berita Harian X