Ahad, 24 Februari 2019 | 7:30pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas pelancaran Program Kampungku Sihat peringkat kebangsaan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, dekat Kuah. - Foto Bernama

Ambil alih lebuh raya ikut kemampuan kewangan kerajaan : PM

LANGKAWI: Proses mengambil alih semua lebuh raya di negara ini akan dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, sehingga ini, kerajaan bersetuju untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang terlebih dahulu melalui proses pembelian terus daripada pemiliknya.

Bagaimanapun, katanya, pembelian empat lebuh raya itu akan membabitkan kos yang besar menyebabkan kerajaan perlu mengenakan caj tertentu bagi tujuan penyelenggaraan laluan terbabit.

“Ini (pengambilalihan) bukan cadangan, tetapi sudah dipersetujui kerajaan bermula dengan beberapa tol yang akan ditutup.

“Bagaimanapun, kita masih perlu kenakan kutipan tol biasa, kurangkan 30 peratus atau tol percuma pada masa tertentu kerana perlu lakukan (kos) penyelenggaraan.

“Tol (kutipan caj) ini juga untuk kita memperbesar, memanjang dan membina lebuh raya baharu pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kampung Sihat Kebangsaan di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisme kutipan tol.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan dipetik berkata, proses pengambilalihan itu membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari manakala waktu luar puncak antara jam 11 malam hingga lima pagi, tol adalah percuma.

Waktu biasa pula akan menyaksikan kadar diskaun tol sebanyak 30 peratus.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sejak mengambil alih Kerajaan Persekutuan, pihaknya sudah memikirkan cara menunaikan segala janji pilihan raya termasuk membabitkan tol.

“Saya mengaku ketika kita buat janji sebelum menang (Pilihan Raya Umum Ke-14), kita tidak mendapat maklumat sepenuhnya.

“Sekarang kita sudah jadi kerajaan baru kita mendapat maklumat sepenuhnya berkaitan kos lebuh raya yang sangat tinggi,” katanya.

Ditanya adakah pihak Gamuda Berhad sudah dimaklumkan mengenai pengambilalihan berkenaan, beliau berkata rundingan terbabit dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama syarikat terbabit.

328 dibaca
Berita Harian X