Ahad, 24 Februari 2019 | 7:27pm

Kerajaan buka peluang bina WTE

MELAKA: Kerajaan Persekutuan membuka peluang kepada mana-mana syarikat yang berminat membangunkan stesen sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di setiap negeri, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata susulan perancangan kerajaan pusat bagi menggantikan kaedah pelupusan sampah konvensional, kaedah WTE dilihat lebih berkesan, jimat tenaga dan menambah pendapatan.

“Melaka sebagai lokasi pelopor pembinaan WTE di tapak pelupusan sampah, Sungai Udang berkeluasan empat hektar, dilihat sesuai menggantikan kaedah pelupusan sedia ada ketika ini.

“Oleh itu, kerajaan akan membuka tawaran kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengendalikan WTE yang memerlukan mereka menyediakan kos pelaburan kira-kira RM500 juta bagi menyediakan stesen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas mengadakan lawatan ke Tapak Pelupusan Sampah, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, kerajaan akan memilih syarikat kontraktor mampu melaksanakan projek itu dengan kos sendiri sebagai langkah berkesan menjimatkan kos dan tidak akan membebankan peruntukan daripada kementerian.

“Syarikat mampu memperoleh hasil keuntungan dalam tempoh 15 tahun selepas menjana tenaga daripada sisa pepejal yang diproses,” katanya.


Zuraida (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke Tapak Pelupusan Sampah, Sungai Udang, hari ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Kerajaan Melaka sebelum ini dilaporkan berkata, akan membina stesen WTE bernilai RM3.6 juta bagi mengatasi masalah pelupusan sampah di negeri itu.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, sayap Wanita parti itu bersedia merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti, sekali gus mahu menamatkan penguasaan tradisi Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2004 di kerusi itu.

"Saya sentiasa berfikiran positif, ketika PRU (Pilihan Raya Umum) sebelum ini, rakyat sudah matang dan menukar kerajaan baharu, kita yakin jika meletakkan calon wanita di Rantau, ia mampu memecah tradisi DUN (tewaskan BN).

"Ketika PRU lalu juga, PKR tidak meletakkan calon wanita di DUN, jadi dengan ada peluang lagi sekali, kita beri ruang untuk wanita mengikut adat perpatih untuk Negeri Sembilan," katanya.

Katanya, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha akan mengusulkan cadangan calon wanita bagi PRK DUN Rantau akan datang untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.

BH sebelum ini melaporkan, Wanita PKR sudah mengenal pasti tiga calon untuk diketengahkan sebagai calon dalam PRK DUN Rantau.

Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

246 dibaca
Zuraida berkata, susulan perancangan kerajaan pusat bagi menggantikan kaedah pelupusan sampah konvensional, kaedah WTE dilihat lebih berkesan, jimat tenaga dan menambah pendapatan. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X