Ahad, 24 Februari 2019 | 12:29am
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Adzlan Sidek

KKM tidak akan teruskan cadangan wujudkan REIT - Dr Dzulkefly

LANGKAWI: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan meneruskan cadangan mewujudkan amanah pelaburan hartanah (REIT) bertujuan mendapatkan dana tambahan untuk kementerian itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya melakukan beberapa kajian, pembentangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet, serta perbincangan bersama Kementerian Kewangan.

“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan membentangkan kepada Kabinet, kemudian diminta oleh Perdana Menteri supaya KKM mengkaji semula. Selepas mengkaji, kita mendapati dari sudut kos pinjaman itu ada instrumen lain yang lebih baik.

“Saya membuat rumusan dalam mesyuarat pascakabinet pada peringkat kementerian, tidak akan menggunakan REIT dalam usaha menerbitkan atau menjana dana untuk kegiatan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan fasiliti KKM.

“Saya juga sudah ada beberapa usaha dan opsyen lain untuk diguna pakai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Islam Sihat Walafiat di Masjid Al Hana, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Beliau berkata, KKM mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

“Saya akan membawa perkara ini dalam mesyuarat pascakabinet KKM. Andainya disokong, kita akan membawa ke peringkat Kabinet pula.

“Saya percaya akan ada hujah yang menyokong dan menentang cadangan ini, KKM akan mempertimbangkan semuanya secara serius,” katanya.

Ditanya tahap penolakan suntikan vaksin imunisasi ketika ini, Dr Dzulkefly berkata, keadaannya belum membimbangkan, namun kadangkala ibu bapa menolak vaksin memberi alasan yang tidak dibuat berdasarkan ‘evidence based’ atau kajian klinikal.

“Kita akan bentangkan dalam tempoh waktu yang munasabah. Kita perlu ada konsultasi dan merujuk pemegang taruh.

“Jika kita mahu menangani perkara ini dengan baik dan cermat, kita perlu ada sesi keterlibatan seperti sesi perjumpaan townhall,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X