Jumaat, 22 Februari 2019 | 10:37pm
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan merasmikan Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2019 Persatuan Pandu Puteri Malaysia di IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pandu Puteri didik Permaisuri Agong jadi pemimpin

KOTA BHARU: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, bertitah Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) bertanggungjawab membentuk diri baginda menjadi seorang pemimpin.

Titahnya, baginda yang bersama dengan PPPM sejak 1969 sudah berkhidmat di bawah lapan Raja Permaisuri Agong dan empat isteri Perdana Menteri.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya akan menjadi Penaung Diraja kerana selama 50 tahun saya bersama PPPM, persatuan ini banyak mendidik dan mengajar saya menjadi pemimpin.

“Bagi saya PPPM adalah satu keluarga yang besar kepada saya dan mereka (ahli) seperti anak serta adik beradik.

“Saya akan terus berkhidmat bagi membawa PPPM ke satu tahap yang dibanggakan di seluruh negara,” titahnya.

Baginda bertitah pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan berangkat menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2019 Persatuan Pandu Puteri Malaysia di IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Choral Speaking kepada Persatuan Pandu Puteri Pahang pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2019 Persatuan Pandu Puteri Malaysia di IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Turut berangkat, Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Jeyadhevi Subramaniam.

Titah baginda, PPPM mampu melahirkan seorang pemimpin ke tahap menjadi Perdana Menteri pada masa depan.

“Apabila anda menjadi ahli PPPM, anda mempunyai masa depan yang cerah kerana kita mempunyai ramai kawan di seluruh dunia,” katanya.

Berita Harian X