Jumaat, 22 Februari 2019 | 10:13pm
Mohd Azis bergambar bersama peserta Program Fun Ride Against Drugs pada Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Peringkat Kebangsaan 2019 di Putrajaya, malam ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

3.2 juta keluarga tinggal di kawasan berisiko tinggi salah guna dadah

PUTRAJAYA: Kira-kira 3.2 juta keluarga di negara ini tinggal di kawasan berisiko tinggi apabila elemen persekitaran kehidupan tidak kondusif menjadi penyumbang kepada penyalahgunaan dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata implikasi penyalahgunaan dadah cukup besar kepada negara kerana kita akan kehilangan tenaga kerja yang produktif.

Katanya, selepas 36 tahun, aliran penggunaan dadah berubah, daripada dadah yang berasaskan tumbuhan seperti ganja dan heroin, kini beralih kepada dadah sintetik seperti syabu dan ecstacy serta pil psikotropik.

“Kesan mudaratnya lebih merbahaya daripada dadah organik kerana dadah jenis sintetik ini mempengaruhi tingkah laku kepada pengguna dan penagih dadah yang menggunakannya.

“Jika dilihat dalam laporan media pada masa kini, sebahagian besar jenayah ganas yang berlaku di Malaysia seperti membunuh berpunca daripada pengambilan dadah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, malam ini.

Sempena majlis pelancaran itu, seramai 2,500 peserta menyertai Program Fun Ride Against Drugs sejauh 33 kilometer (km) dan 10 km.

Mohd Azis turut menyertai acara kayuhan sejauh 10 km.

Bulan Antidadah Kebangsaan bertemakan ‘Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita’ itu adalah usaha berterusan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang membawa mesej pengamalan budaya hidup sihat selain memperkasa peranan dan tanggungjawab komuniti membantu untuk pencegahan awal.

Katanya, peningkatan penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) adalah ancaman utama kepada masalah penagihan dadah pada masa kini.

“Sehingga Disember 2017, kemunculan NPS dilaporkan di 111 negara dan pada 2009, hanya 340 jenis NPS ditemui namun meningkat kepada 803 jenis NPS pada 2017, iaitu peningkatan sebanyak 136 peratus.

“Trend jenis dadah yang disalah guna di Malaysia adalah konsisten dengan trend jenis dadah yang disalah guna di peringkat dunia dan serantau.

“Dari Januari hingga Disember tahun laku, dadah jenis Methamphetamine seperti syabu dan pil kuda adalah jenis dadah yang paling banyak disalah guna diikuti oleh dadah jenis heroin.

“Nilai rampasan pada tahun lalu adalah sebanyak RM516.3 juta meningkat sekali ganda berbanding 2017 iaitu RM292.2 juta,” katanya.

3532 dibaca
Berita Harian X