Jumaat, 22 Februari 2019 | 7:31pm
DZULKEFLY melawat pasakit yang ditempatkan di pusat Rawatan Harian ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Turut bersama, Pakar Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar, Dr.Lily Mushahar (kanan). - Foto Adzlan Sidek

KKM perlu lebih ramai penjawat awam

SEREMBAN: Jumlah kakitangan awam di sektor kesihatan perlu ditambah bagi melancarkan operasi semua jabatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sektor kesihatan di negara ini berada di tahap ‘sangat memerlukan’ penambahan kakitangan, terutamanya pekerja fasiliti kesihatan awam bagi menampung bebanan kerja yang semakin meningkat.

“Selepas sembilan bulan menerajui KKM, saya mendapati memang ada keperluan bagi menambah jumlah penjawat awam di sektor kesihatan.

“Kita sangat memerlukan lebih ramai penjawat awam disebabkan cabaran dan bebanan yang terpaksa dihadapi oleh penjawat awam di sektor ini juga semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini jumlah penjawat awam seramai 280,000 orang di sektor kesihatan masih tidak mencukupi bagi membantu memberikan perkhidmatan yang lancar dan terbaik kepada rakyat.

“Kita ada menerima sejumlah peruntukan daripada kerajaan dan sedang merangka pelan untuk menambah jumlah kakitangan. Kita memerlukan lebih ramai, bukan dikurangkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata saiz perkhidmatan awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan selaras dengan kedudukan negara ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata kerajaan akan menanggung kos rawatan dialisis bagi pesakit dari Pusat Perubatan Mawar (PPM) sebanyak RM500,000 setiap bulan, selepas operasi pusat perubatan itu ditutup pada bulan ini.

“Seramai 138 pesakit ditempatkan di hospital kerajaan di negeri ini dan 136 pula di pusat perubatan swasta.

“Kita juga mendapat bantuan daripada kakitangan perubatan dari lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Johor dan Melaka yang turut turun padang bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan dialisis,” katanya.

Ditanya mengenai pembinaan Hospital Rembau, Dr Dzulkefly berkata, projek yang dimulakan pada September 2013 dengan nilai asal RM96 juta itu dijangka siap pada Jun tahun ini.

“Kita menetapkan kerja-kerja disiapkan pada bulan ini, namun disebabkan beberapa masalah, kontraktor tidak dapat menyiapkannya mengikut jadual.

“Setakat ini, kerja-kerja sudah siap 98 peratus tetapi kita juga mengenakan denda sebanyak RM17,535 sehari kepada kontraktor kerana kelewatan itu,” katanya.

3222 dibaca
Berita Harian X