Khamis, 21 Februari 2019 | 4:52pm
Peguam Negara, Tommy Thomas. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Prosiding mahkamah seperti biasa walaupun RCI ditubuhkan - Peguam Negara

PUTRAJAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Badan Kehakiman tidak akan menjejaskan perjalanan kes di semua mahkamah.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, penubuhan RCI tidak bermaksud penangguhan semua kes secara automatik atau menyeluruh akan berlaku.

“Ketika RCI menjalankan siasatannya, kes di hadapan semua mahkamah akan berjalan seperti biasa.

“Semua kes di semua peringkat mahkamah sama ada atasan atau rendah akan terus didengar dan diputuskan oleh pihak mahkamah.

“Secara lazimnya, sebarang permintaan bagi penangguhan kes hendaklah dibuat oleh pihak yang terbabit kepada mahkamah yang berkenaan. Sememangnya menjadi kelaziman bagi fungsi kehakiman, untuk seorang hakim memutuskan sama ada mana-mana penangguhan seharusnya ditolak atau dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan persoalan pelbagai pihak berhubung kesan RCI bagi menyiasat Badan Kehakiman ke atas semua prosiding yang masih berlangsung di mahkamah.

Beliau berkata harus diingat bahawa penelitian ke atas Badan Kehakiman bukan kali pertama dilaksanakan di negara ini.

“Pada 1988, dua tribunal telah ditubuhkan mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan untuk menyiasat dakwaan salah laku kehakiman terhadap enam hakim Mahkamah Agung (kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan).

“Pada 2007, RCI berhubung klip video V K Lingam ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam proses lantikan kehakiman oleh sesetengah hakim negara ini.

“Dalam semua keadaan ini, urusan lazim di semua mahkamah berjalan seperti biasa dan tiada sebarang penangguhan diberikan oleh pihak mahkamah.

“Litigan berhak agar kes mereka didengar dan diputuskan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata hakim dan peguam bertanggungjawab untuk memastikan proses pengadilan tidak terganggu.

“Hujahan bahawa prosiding mahkamah dan proses pengadilan seharusnya ditangguhkan sementara menunggu selesainya siasatan oleh RCI tidak mempunyai sebarang asas daripada segi fakta mahupun undang-undang.

“Selain itu, memandangkan RCI bakal ditubuhkan tidak lama lagi dan selepas itu akan memulakan pertimbangannya, diharapkan agar spekulasi orang ramai berhubung perkara ini dapat dihentikan.

“RCI seharusnya dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjwabnya secara tenang dan terkawal,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini berkata kerajaan setuju dengan penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku sesetengah hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pelbagai pihak mendesak supaya suruhanjaya siasatan ditubuhkan berikutan pendedahan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim kanan dalam Badan Kehakiman.

Berita Harian X