Khamis, 21 Februari 2019 | 9:04am

Masa depan Tasik Chini makin kelam

PEKAN: Masa depan Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga dan destinasi tarikan eko pelancongan semakin kelam apabila penerokaan tanah serta perlombongan di Bukit Ketaya yang berhampiran, dikesan terus berleluasa.

Keistimewaan 12 tasik air tawar seluas 5,084 hektar yang turut menjadi penyumbang ekonomi masyarakat setempat melalui pelancongan dan penangkapan ikan, turut terjejas apabila air tasik bertukar keruh.

Tinjauan BH di sekitar tasik dan Bukit Ketaya semalam, mendapati penerokaan tanah tanpa kawalan dilakukan berhampiran tasik seolah-olah tiada zon penampan seperti yang lazimnya ditetapkan bagi menggelakkan pencemaran alam sekitar.

Difahamkan penerokaan tanah bagi perlombongan di kawasan itu bermula sejak beberapa tahun lalu, namun ia menjadi semakin parah kebelakangan ini.

Berdasarkan gambar dari udara menggunakan dron diambil jurugambar mendapati, penerokaan tanah bukit yang hanya kira-kira 150 meter dari tasik jelas menunjukkan kawasan kehijauannya makin berkurangan berbanding di pintu masuk utama ke Tasik Chini melalui Lake Chini Resort.


KAWASAN hutan simpan Tasik Chini yang gondol akibat aktiviti perlombongan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Papan tanda dipasang pada pintu masuk ke kawasan itu menunjukkan kerja melombong di Bukit Ketaya dalam Mukim Penor itu diluluskan Pejabat Tanah dan Galian Pahang pada 3 Oktober 2011.

BH yang mengharungi tasik itu menggunakan bot, melihat sendiri pembukaan tanah di sekitar kawasan bukit yang semakin gondol.

Pelancong kecewa

Seorang pemandu bot yang hanya mahu dikenali sebagai Din, berkata ada pengunjung dan pelancong melahirkan kekecewaan apabila melihat penerokaan hutan secara berleluasa itu sehingga mengancam Tasik Chini.

“Mereka amat prihatin kerana kegiatan penerokaan tanpa kawalan ini hanya mencemarkan alam sekitar, menjejaskan keindahan flora dan fauna dan kualiti air tasik semula jadi berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagi penduduk Orang Asli di Kampung Cendahan, Awang Kassim, 64, Tasik Chini yang menjadi sumber air penduduk semakin tercemar akibat penerokaan secara berleluasa itu.

Katanya, kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli suku Jakun dari Kampung Gumum, Cendahan serta Tanjung Puput bergantung kepada air tasik berkenaan sebagai sumber kegunaan harian.


AWANG Kassim

“Dahulu sekitar 60-an sehingga 80-an, air boleh diminum begitu sahaja kerana bersih tapi sejak tahun 2000, keadaan air semakin keruh dan tidak lagi selamat.

“Namun kami terpaksa gunakan air itu juga yang dipam ke telaga. Bila hujan berterusan, air tasik lebih keruh apabila lumpur dari bukit yang ditarah mengalir masuk ke tasik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mengambil perhatian serius masalah mereka dan memantau kegiatan penerokaan tanah di sekitar Tasik Chini.

Malah, beliau juga bimbang kerosotan kunjungan pelancong juga menjejaskan sumber pendapatan mereka yang menawarkan khidmat bot, jualan kraf tangan, produk herba dan pemandu pelancong.

“Dahulu hutan sekeliling tasik juga menjadi sumber kami cari rezeki tapi sekarang hampir pupus kerana kawasan sudah diteroka makin luas,” katanya.

3917 dibaca
KAWASAN hutan simpan Tasik Chini yang gondol akibat aktiviti perlombongan. - Foto Farizul Hafiz Awang
KAWASAN hutan simpan Tasik Chini yang gondol akibat aktiviti perlombongan. - Foto Farizul Hafiz Awang
KAWASAN hutan simpan Tasik Chini yang gondol akibat aktiviti perlombongan. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X