Sabtu, 16 Februari 2019 | 10:30am
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beramah mesra bersama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional , Datuk Seri Mohammad Hassan di pekarangan tempat menunggu parti yang bertanding di pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih turut bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi (empat, kiri) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 DUN Semenyih berarak bersama para penyokong ketika tiba di Pusat Penamaan Calon PRK Semenyih Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang hari ini. Turut serta Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga, kiri) dan Pengarah Pilihan Raya BN PRK DUN Semenyih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat, kanan). - Foto BERNAMA

Tempoh serah borang pencalonan berakhir

KAJANG: Tempoh penyerahan borang penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ditutup jam 10 pagi tadi.

Setakat ini, empat calon sudah menyerahkan borang pencalonan iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainal, 30; calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanaf, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25, serta calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56.

Pengumuman rasmi calon layak bertanding dijangka diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar seawal jam 10.30 pagi.

Proses penamaan calon PRK DUN Semenyih berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan tempoh masa satu jam diberikan SPR bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

Calon Pakatan Harapan N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali berarak bersama kepimpinan Pakatan Harapan dan penyokon ke pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU-14.

Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini.

Berita Harian X