Sabtu, 16 Februari 2019 | 10:22am
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) membuat liputan lintas langsung menerusi Facebook (FB) Live.

SPR buat lintas langsung penamaan calon

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Mohd Iskandar Ibrahim, Mohd Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan

bhnews@bh.com.my

KAJANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat liputan lintas langsung menerusi Facebook (FB) Live proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pagi ini.

Lintas langsung itu turut merangkumi perjalanan sepanjang sesi penyerahan borang pencalonan berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di Saujana Impian di sini.

Orang ramai boleh melihat perjalanan proses penamaan calon itu menerusi FB Live SPR.

Proses penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih bermula jam 9 pagi ini dengan tumpuan pastinya terarah kepada bilangan calon yang akan disahkan bertanding.

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Seri Cempaka, dengan tempoh masa satu jam diberikan SPR bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi perlu dikemukakan kepada Pegawai Pengurus bersama pencadang atau penyokong sebelum jam 10 pagi.

Selepas membuat semakan, Pegawai Pengurus SPR seterusnya akan mengumumkan secara rasmi calon-calon yang layak bertanding kerusi itu, dijangka seawal 10.30 pagi.

Setakat pagi ini, empat pihak sudah mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding di PRK itu yang diadakan selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Sementara itu, kawalan ketat dilakukan pihak polis di sekitar pusat penamaan calon, dengan kumpulan penyokong parti yang bertanding diasingkan di beberapa lokasi.

Selain lintas langsung pada hari penamaan calon, SPR juga melakukan lintas langsung pada hari mengundi, pengiraan undi serta pengumuman keputusan rasmi PRK, sebagai sebahagian penambahbaikan dalam proses pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, sebelum ini berkata usaha itu dilakukan bagi membolehkan rakyat mengikuti sekali gus memahami perjalanan dan proses pilihan raya.

Berita Harian X