Sabtu, 16 Februari 2019 | 10:00am
TIMBALAN Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi calon PH, Muhammad Aiman Zainali di Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, pagi ini. - Foto Asyraf Hamzah

Penyokong parti tanpa pas SPR lolos masuk pusat penamaan calon

KAJANG: Beberapa penyokong parti dikesan masuk ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, tanpa pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mereka juga dikesan bertukar-tukar pas SPR untuk membolehkan individu yang tidak memiliki pas itu, masuk ke pusat penamaan calon untuk memberi sokongan kepada wakil parti yang akan bertanding pada PRK DUN Semenyih.

Keadaan itu menimbulkan kekhuatiran berkemungkinan timbul ketegangan antara penyokong parti kerana individu yang masuk ke kawasan Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), lebih ramai daripada yang sepatutnya.

Seorang anggota polis yang bertugas di pintu masuk mengakui perkara itu berlaku, sebelum arahan dikeluarkan supaya penyokong parti yang masuk ke kawasan dewan itu, tidak dibenarkan keluar.

Anggota polis juga dilihat mengawal lebih ketat kemasukan penyokong parti ke pusat penamaan calon itu, bagi mengelakkan lebih ramai individu tanpa pas SPR terlepas masuk ke dewan berkenaan.

TIMBALAN Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan mengiringi calon BN, Zakaria Hanafi, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang. - Foto Saifullizan Tamadi

Hingga jam 9 pagi tadi, empat individu mewakili Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas, masuk ke dalam Dewan Sri Cempaka MPKj untuk menghantar borang penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih.

PH diwakili Muhamad Aiman Zainali, 30, manakala Zakaria Hanif, 58, mewakili BN. PSM menghantar Nik Aziz Afiq Abdul, 25, sebagai calon, manakala aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, dikenali 'Uncle Kentang', menawarkan diri sebagai calon Bebas.

Senarai rasmi calon hanya akan diumumkan SPR selepas tempoh penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.

Berita Harian X