Sabtu, 16 Februari 2019 | 9:18am
KUAN Chee Heng menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih di Pusat Penamaan Calon, Dewan Seri Cempaka. - Foto Asyraf Hamzah
ZAKARIA Hanafi menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih di Pusat Penamaan Calon, Dewan Seri Cempaka. - Foto Asyraf Hamzah
MUHAMMAD Aiman Zainali menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih di Pusat Penamaan Calon, Dewan Seri Cempaka. - Foto Asyraf Hamzah

PRK Semenyih: Pusat penamaan calon dibuka

KAJANG: Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dibuka jam 9 pagi.

Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di Saujana Impian di sini, menjadi lokasi pusat penamaan calon bagi PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU-14).

Setakat pagi ini, empat calon sudah mengesahkan bertanding dalam PRK kali ini dengan seorang daripadanya adalah calon bebas.

Tiga yang lain mewakili parti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PH diwakili anak muda, Muhammad Aiman Zainali, 30, yang juga seorang jurutera sebagai calon, sementara BN mencalonkan pemimpin masyarakat, Zakaria Hanafi, 58.

NIK Aziz Afiq Abdul menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih di Pusat Penamaan Calon, Dewan Seri Cempaka. - Foto Asyraf Hamzah

Turut bertanding dalam PRK kali ini, calon mewakili parti PSM, Nik Aziz Afiq Abdul serta aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU-14.

Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini.

Berita Harian X