Jumaat, 15 Februari 2019 | 9:57pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Pejabat Khidmat Pelanggan Parlimen Pulai. - Foto Zain Ahmed

'Salahkah saya menangis?'

JOHOR BAHRU: “Saya pernah jual ikan, bertani, menanam pokok. Saya buat sungguh. Rintihan surat itu adalah tangisan petani selama 60 tahun, salahkah saya menangis?”

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayob, menepis dakwaan kononnya tangisannya ketika gimik Majlis Pelancaran Hala Tuju kementerian itu di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, semalam adalah lakonan dirancang.

Dalam pertemuan dengan BH di sini hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, mengakui bukan mudah baginya menitiskan air mata di depan khalayak.

“Saya lelaki, bukan senang untuk menangis kerana saya juga ada ego.

“Bagaimanapun, saya gagal mengawal kesedihan apabila mengenangkan kesusahan petani tidak berubah selepas sekian lama,” katanya.

Beliau menitiskan air mata ketika membaca surat ditulis petani, Ibas Hamud, 77, atau lebih dikenali sebagai Wak Ibas.

Suara Salahuddin yang tersekat-sekat ketika membaca surat itu, mengundang sedih dalam kalangan hadirin, malah ada yang dilihat turut menitiskan air mata.

Surat berkenaan diserahkan Wak Ibas iaitu wakil petani daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar ke tangan menteri itu sendiri.

Walaupun sudah bergelar menteri, Salahuddin berkata, kandungan surat tulisan Wak Ibas itu membawanya mengenang kesusahan hidup pernah dialami sepanjang membesar di Kampung Tanjung Piai, Pontian.

Beliau hanya dimaklumkan perlu membaca surat seorang petani sehari sebelum majlis berkenaan berlangsung.

“Sebagai menteri, saya melihat surat itu dan kandungannya adalah rintihan petani. Selama 35 tahun berkecimpung dalam politik, saya pernah jadi petani di kampung saya di Kampung Tanjung Piai yang juga perkampungan nelayan.

“Itu adalah tangisan hati saya, tekad saya untuk memperjuangkan nasib kelompok petani seperti Wak Ibas supaya dapat mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

“Selagi kita tidak mengeluarkan mereka daripada kemiskinan, bagi saya kita gagal. Saya menteri dapat gaji, kenaikan pangkat tetapi mereka tidak berubah. Mereka tetap miskin dan tergolong dalam B40.

“Itu erti tangisan saya dan selepas sembilan bulan, saya rasa berdosa kerana belum dapat mengubahnya,” katanya.

3781 dibaca
Berita Harian X