Jumaat, 15 Februari 2019 | 7:42pm
ZURAIDA (dua, kanan) serta Dzulkefly (kanan) melawat kawasan perumahan PPR Uda Utama pada Majlis Penyerahan Pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama di Taman Tan Sri Yaacob, Skudai. - Foto Bernama

Rekod transaksi sewa jadi slip gaji

JOHOR BAHRU: Rekod bayaran transaksi sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dijadikan slip gaji golongan B40 memohon pinjaman bank untuk perumahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata perkara itu antara agenda utama dibincang kementeriannya dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

Katanya, langkah itu juga antara komitmen berterusan kerajaan untuk membantu golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Semalam kementerian mengadakan mesyuarat dengan BNM bagi membincangkan masalah pembiayaan pinjaman rumah golongan B40 yang sukar mendapat pinjaman perumahan berikutan mereka tidak memiliki slip gaji.

“BNM pada prinsipnya bersetuju penyewa PPR boleh mendapatkan rekod bayaran sewa mereka dalam tempoh tiga tahun daripada pihak kerajaan negeri atau kementerian sebagai bukti membuat bayaran balik dan konsisten setiap bulan.

“Ia menjadi ‘slip gaji’ kepada bank dalam permohonan pembiayaan perumahan mereka kepada bank di negara ini.

“Kementerian memahami keluhan golongan B40 terutama peniaga kecil kerana permohonan mereka mendapatkan pinjaman perumahan sering tidak berjaya dan langkah ini diharap membantu mereka membeli rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan PPR Uda Utama antara KPKT dan Kerajaan Johor di PPR Uda Utama, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Sebelum ini, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR dilaporkan akan memberi tumpuan untuk membantu golongan B40 memiliki rumah sebagai antara agenda utama kementeriannya.

Beliau turut menasihatkan penerima rumah PPR Uda Utama supaya sentiasa menjaga rumah serta kemudahan terutama lif sentiasa berada dalam keadaan baik, sekali gus dapat digunakan bersama dalam tempoh lama.

Berita Harian X