Khamis, 14 Februari 2019 | 1:25pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.- Foto Syarafiq Abd Samad

Keputusan hukuman mati mandatori diputus bulan depan

JOHOR BAHRU: Kabinet akan membuat keputusan muktamad sama ada meneruskan atau tidak pemansuhan hukuman mati mandatori sebelum Persidangan Dewan Rakyat, bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata Kabinet akan membuat keputusan selepas mengambil kira semua pendapat daripada pelbagai pihak.

“Selepas Kabinet membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori pada Oktober tahun lalu, saya bertemu banyak pihak termasuk keluarga mangsa jenayah, banduan akhir, wakil masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan maklum balas.

“Kita mengambil berat pandangan semua pihak termasuk keluarga mangsa yang kehilangan ahli keluarga akibat jenayah.

“Saya jangka keputusan muktamad (sama ada meneruskan atau tidak) pemansuhan hukuman mati mandatori yang menjadi antara manifesto Pakatan Harapan (PH) akan dibuat sebelum Parlimen bersidang 11 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Pada awal Oktober lalu, Kabinet memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan dan susulan keputusan itu, semua pelaksanaan hukuman mati ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata Malaysia tidak mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang ‘lese majeste’ seperti diamalkan di Thailand dalam melindungi keluarga diraja.

bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan undang-undang lain atau meminda undang-undang sedia ada bagi tujuan itu.

“Tiada keperluan untuk kita wujudkan undang-undang berkenaan di negara ini kerana jika diperlukan, ia sudah lama dibuat, bukan sekarang.

“Tapi kita tidak nafikan keperluan melindungi institusi diraja kerana kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

“Undang-undang sedia ada sudah memadai untuk tujuan itu, namun mungkin kita boleh mewujudkan undang-undang baharu atau pinda undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, walaupun langkah melindungi institusi diraja perlu dilakukan, rakyat tetap diberi kebebasan untuk menyuarakan pendapat berkaitan keluarga diraja selagi tidak melanggar undang-undang termasuk memfitnah.

Undang-undang ‘lese majeste’ pentadbiran diraja di Thailand adalah antara yang paling berat di dunia, membawa hukuman penjara 15 tahun bagi setiap kesalahan.

Terdahulu, Vui Keong berkata, pembinaan kompleks mahkamah baharu di tanah seluas 6.9 hektar membabitkan kos RM200 juta itu akan dimulakan selepas Kementerian Kewangan meluluskan pertukaran tapak tanah berkenaan dengan tapak bangunan mahkamah sedia ada yang berusia lebih 100 tahun di pusat bandar.

261 dibaca
Berita Harian X