Selasa, 12 Februari 2019 | 7:19pm
SAKSI, Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam, semalam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Saksi tidak sedar Adib hilang dalam rusuhan

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini semalam diberitahu ‘kehilangan’ anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kasim hanya disedari selepas van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan jentera Fire Rescue Tender (FRT) tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman, berkata sejurus tiba di pondok pengawal IPD Subang Jaya, beliau keluar dari van EMRS untuk melihat kerosakan kenderaan itu dan anggota pemadaman, Mohd Hazim Mohd Rahimi, muncul dari bahagian belakang van.

Ahmad Shahril berkata, beliau kemudian bertanya dengan Hazim “Adib mana Adib?,” dan Hazim menjawab “tak tahu.”

“Kemudian saya menghubungi telefon bimbit Adib tetapi panggilan itu dijawab orang awam dan memberitahu bahawa Adib dalam perjalanan ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) .

“Laporan polis tidak dapat dibuat di IPD Subang Jaya kerana masalah sistem jadi kami ke SJMC. Dari sana saya bersama penyelia, Badrul Hisham Salleh, ke balai polis USJ 17.

“Selepas membuat laporan kami ke SJMC semula. IPD Subang Jaya kemudian menghantar anggota polis ke lokasi kejadian untuk mencari Adib,” katanya.

Ketika di IPD Subang Jaya, Ahmad Shahril juga melihat keadaan van EMRS yang mengalami kerosakan teruk antaranya tayar belakang kiri pecah hanya tinggal rim, pintu sisi van sebelah kiri tercabut dan cermin sisi belakang pecah membuatkannya terkejut.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Takut sangat dan rasa nak mati,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Terdahulu, Ahmad Shahril berkata ketika di tempat kejadian beliau melihat sekumpulan kira-kira 50 orang menyerbu jentera FRT yang berada di hadapan van EMRS yang dipandunya.

Beliau berkata, FRT tiba-tiba mengundur ke belakang dan melanggar van ERMS hingga menyebabkan van itu berpusing ke kiri dan bergesel dengan FRT sebelum tersekat.

Beliau berkata, walaupun cuba ke depan tapi keadaan sempit itu tidak membolehkan van EMRS bergerak kerana FRT masih mengundur.

Ahmad Shahril kemudian menekan pedal minyak dan akhirnya berjaya keluar dari sekatan dan terus menuju ke IPD Subang Jaya.

“Sepanjang insiden itu iaitu dari FRT mengundur dan menghimpit van EMRS sehingga berpusing saya langsung tidak nampak kelibat Adib dan tidak mendengar suara Adib. Hanya kedengaran suara riuh-rendah saja,” katanya.

Ahmad Shahril, 36, juga menunjukkan kepada koroner melalui jentera dan kereta mainan, mengenai kejadian kenderaan FRT mengundur sehingga menyebabkan van EMRS berpusing.

Beliau adalah saksi ketiga inkues kematian Muhammad Adib yang didengari di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, yang bermula kelmarin.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Berita Harian X