Selasa, 12 Februari 2019 | 7:04pm

Jalan TAR ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas

PUTRAJAYA: Laluan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di Kuala Lumpur dari kompleks beli-belah Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas bermula 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata laluan sepanjang satu kilometer itu merangkumi laluan di Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu.

Katanya, penutupan jalan itu dibuat bagi memberi keselesaan kepada orang awam untuk berurusan di kawasan berkenaan yang akan dijadikan tapak baharu untuk operasi bazar Ramadan.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menjalankan kajian dalam talian berhubung penutupan jalan berkenaan di mana sebanyak 57 peratus pengguna laman sosial bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Kita mahu menjadikan laluan itu sebagai kawasan bebas kenderaan atau ‘pedestrian mall’ yang mana pengunjung boleh berjalan kaki untuk membeli-belah tanpa perlu bersesak,” katanya pada sidang media selepas Bicara Makan Tengah Hari sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Khalid berkata sekiranya apa yang dirancangkan berjalan lancar, pihaknya dapat menempatkan lebih 250 peniaga bazar Ramadan pada masa akan datang.

“Penempatan hanya membabitkan mereka yang memohon lesen untuk berniaga ketika Ramadan, manakala peniaga sedia ada akan dikekalkan di tapak asal,” katanya.

6120 dibaca
Berita Harian X