Selasa, 12 Februari 2019 | 3:13pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin (tengah) menyampaikan sijil program Anugerah 'Unsung Hero' kepada murid Tahun Lima, Mohd Hisham Ismail (lima dari kiri) di Sekolah Kebangsaan Putera Jaya, hari ini. - NSTP/Hanneyzah Bariah Baharin

Isu kelayakan akademik: Tiada tindakan undang-undang

PERMAISURI: Isu kelayakan akademik beberapa menteri dan timbalan menteri yang menjadi pertikaian ramai ketika ini tidak membabitkan hal perundangan, sebaliknya lebih kepada isu etika.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata masyarakat lebih peka mengenai aspek kejujuran menteri dan timbalan menteri berkenaan, berbanding kelayakan akademik dimiliki.

“Isu ini mesti dilihat daripada sudut kejujuran, bukan (mengenai) kelayakan akademik sangat. Jadi, kalau daripada segi (tindakan) perundangan, bagi saya tidak ada.

“Walaupun saya menjaga hal ehwal undang-undang, saya tak nampak ia membabitkan isu perundangan, tetapi lebih kepada isu etika,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah ‘Unsung Hero’ di Sekolah Kebangsaan Putera Jaya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas sekiranya tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap anggota Kabinet sekiranya ada yang terbukti melakukan penipuan mengenai sijil dan kelayakan akademik mereka.

Sebelum ini, beberapa pemimpin kerajaan daripada PH didakwa memiliki ijazah palsu, termasuk ada yang mengakui tidak menamatkan pengajian di universiti.

Mohamed Hanipa berkata, masyarakat tidak boleh berkompromi mengenai pembohongan dan kejujuran adalah satu perkara yang dituntut daripada ahli politik.

Katanya, beliau percaya perkara itu akan diselesaikan mengikut perlembagaan parti masing-masing yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana ia membabitkan parti gabungan dalam PH, setiap parti ada mekanisma masing-masing untuk selesaikan isu itu. Saya tidak mahu menghakimi mana-mana pihak. Ada kes tertentu sudah diserahkan kepada polis, jadi biar polis buat kerjalah,” katanya.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, apa yang menjadi pertikaian oleh masyarakat ialah isu kejujuran individu berkenaan, bukan mengenai soal kelulusan akademik.

“Sebenarnya, secara umumnya kelayakan akademik bukan syarat untuk jadi menteri. Kelayakan akademik itu satu bonus. Di negara kita tak ada ketetapan seorang Ahli Parlimen itu perlu mempunyai kelulusan tinggi.

“Bagi saya dalam isu ini masyarakat tidak mahu melihat daripada sudut itu (kelayakan akademik), tetapi daripada sudut kejujuran. Bagi saya kalau kita jujur tak ada masalah.

“Biarpun sekiranya kita hanya mempunyai kelayakan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau darjah enam sahaja sekalipun, kalau kita jujur, rakyat tak akan marah,” katanya.

781 dibaca
Berita Harian X