Selasa, 12 Februari 2019 | 3:01pm
LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

LHDN nafi kaitan program 'Dana 7 Amanah LHDN'

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menafikan dakwaan pihaknya mempunyai kaitan dengan program ‘Dana 7 Amanah LHDN’ seperti yang dilaporkan menerusi media, baru-baru ini.

LHDN dalam satu kenyataan berkata, Yayasan Amal Maaruf Malaysia mendakwa program terbabit di bawah agensi itu dan perkara itu adalah tidak benar.

Menerusi laporan akhbar bertajuk ‘Yayasan Amal Maaruf sasar kutipan lebih RM51j’ yang disiarkan pada 11 Februari lalu turut menyatakan kutipan itu membabitkan pembayar cukai di seluruh negara menerusi program berkenaan.

“LHDN menafikan mempunyai kaitan dan kepentingan dengan program ‘Dana 7 Amanah LHDN’ yang diperkenalkan oleh Yayasan Amal Maaruf Malaysia.

“LHDN adalah agensi yang bertindak membuat penilaian dan memberikan kelulusan terhadap sebarang permohonan mana-mana institusi, organisasi atau tabung yang memohon pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Kelulusan pengecualian cukai di bawah subseksyen ini hanya akan diberikan kepada institusi, organisasi atau tabung yang memenuhi syarat-syarat seperti yang terkandung dalam Garis Panduan Teknikal bertajuk Garis Panduan Bagi Permohonan Untuk Kelulusan Di Bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Sehubungan itu LHDN menggesa Yayasan Amal Maaruf Malaysia membuat penjelasan segera berkenaan hal ini bagi mengelakkan salah tanggapan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

308 dibaca
Berita Harian X