Selasa, 12 Februari 2019 | 2:53pm
MUHYIDDIN mempengerusikan mesyuarat semasa lawatan kerja ke Jabatan Penjara Malaysia di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia. - Foto Bernama

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi mampu tangani cabaran ekonomi

SEMENYIH: Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam memulihkan dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penubuhan itu mampu memastikan isu berkaitan dapat diberi perhatian supaya rakyat dapat melihat setiap usaha yang dilakukan kerajaan.

“Ini adalah langkah ke hadapan untuk melihat isu ekonomi negara dalam konteks yang lebih besar supaya setiap isu yang dibangkitkan akan diberi tumpuan yang lebih mendalam.

“Apa yang lebih penting rakyat dapat melihat dan merasai perubahan yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menafikan dakwaan kononnya penubuhan majlis itu disebabkan anggota Kabinet sedia ada tidak memadai menangani isu berkaitan ekonomi.

“Dakwaan Penasihat Media kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin tidak benar. Kabinet masih berfungsi seperti biasa. Saya sendiri yang bawa cadangan supaya majlis itu ditubuhkan ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Penubuhan majlis ini adalah kombinasi sektor swasta dan kerajaan untuk membantu memulihkan ekonomi negara. Ini bukan pertama kali majlis seumpama ditubuhkan,” katanya.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan kononnya kerajaan PH mengabaikan kepentingan dan hak orang Melayu serta Bumiputera.

Beliau berkata, dakwaan itu berniat jahat kerana hak orang Melayu serta Bumiputera sudah termaktub dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pelbagai tohmahan dan cercaan kepada kerajaan kononnya kita mengabaikan hak orang Melayu dan Bumiputera. Tohmahan itu tidak benar.

“Dalam keanggotaan Kabinet pun, menteri Melayu melebihi daripada yang bukan Melayu. Jika ada bukti kononnya kerajaan mengabaikan hak orang Melayu dan Bumiputera, sila beritahu saya,” katanya.

179 dibaca
Berita Harian X