Selasa, 12 Februari 2019 | 1:25pm

Pematuhan pelabelan ASEAN NCAP kuat kuasa mandatori 1 Mac 2020

PUTRAJAYA: Pematuhan Pelabelan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) akan dikuatkuasakan secara mandatori mulai 1 Mac tahun depan terhadap semua syarikat automotif yang ingin memasarkan kenderaan mereka di Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bawah program itu, syarikat pembuat kenderaan perlu memenuhi Garis Panduan Pematuhan Pelabelan ASEAN NCAP yang akan memberi nilai tambah dari segi keselamatan sesebuah kenderaan.

Katanya, penilaian ASEAN NCAP bertujuan memberi maklumat kepada pengguna mengenai tahap kebolehtahanan perlanggaran sesebuah kenderaan penumpang.

Beliau berkata, ia juga memberi maklumat kepada pengguna mengenai ciri keselamatan aktif dilengkapkan pada sesebuah kenderaan yang boleh mengelakkan kemalangan atau membantu mengurangkan tahap kecederaan dialami apabila berlaku perlanggaran.

“Program penilaian dilakukan terhadap tahap keselamatan sesuatu model kenderaan yang mana kenderaan itu diuji secara fizikal pada kelajuan tertentu. Berdasarkan penilaian dijalani, kenderaan itu akan diberi penarafan keselamatan.

“Bagi peringkat awal, bermula 1 Mac tahun ini, pelabelan ASEAN NCAP akan dijalankan secara sukarela. Ini bermaksud syarikat pembuat kenderaan digalak mempamerkan ‘rating’ mengikut bintang diberikan oleh pihak pengendali ujian perlanggaran.

“Ujian ini akan menentukan kenderaan yang memasuki pasaran ada ‘rating’ bintang bagi mewakili ciri keselamatannya membabitkan tiga kategori, iaitu tiga bintang (skor 50-65 peratus), empat bintang (skor 65-75 peratus) dan lima bintang (75-100 peratus),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Pematuhan Pelabelan ASEAN NCAP, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berikutan ASEAN NCAP bukan mandatori dan bersifat sukarela ketika ini, tidak semua model atau varian kenderaan dalam pasaran ada label berkenaan.

“Bagaimanapun, jika label ASEAN NCAP ada pada kenderaan pengeluar dengan bintang tertentu, ia akan memberi nilai tambah kepada mereka untuk menarik minat pembeli kerana memiliki ciri keselamatan diiktiraf, mengandungi maklumat mengenai spesifikasi kenderaan dan kod QR,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada punca kuasa perundangan, iaitu Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dalam menguatkuasakan garis panduan itu.

Berhubung perkara itu, beliau berkata, pengeluar melalui wakil jualan hendaklah mempamerkan pelekat pada cermin hadapan dan cermin tepi kenderaan di mana-mana pusat jualan atau pameran kereta.

“Pelekat label kenderaan hanya boleh dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) selepas didaftarkan kelulusannya oleh Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP.

“Bagi kenderaan tidak melalui ujian perlanggaran oleh ASEAN NCAP, wakil jualan kenderaan berkenaan juga diminta menampalkan pelekat label ASEAN NCAP pada cermin depan dan cermin tepi kenderaan, namun tidak dicatatkan sebarang keputusan taraf bintang.

“Bagi mana-mana pengeluar atau wakil jualan yang tiada mendapat kelulusan ujian perlanggaran ASEAN NCAP, sekiranya melekatkan pada kenderaan untuk dijual itu dengan pengesahan label tidak diluluskan ASEAN NCAP, mereka boleh dikenakan tindakan bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 bagi orang persendirian atau RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana melabelkan pernyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna,” katanya.

128 dibaca
SAIFUDDIN ketika menunjukkan pelekap penarafan bintang selepas Majlis Peluncuran Garis Panduan Pematuhan Pelabelan Asean NCAP 2019 dan turut bersama timbalannya, Chong Chieng Jen di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X