Selasa, 12 Februari 2019 | 11:55am
MUKHRIZ (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Quantum Solar Park, Azman Zainuddin (empat dari kiri) melawat ruang pameran selepas majlis perasmian Ladang Solar 50MW Quantum Solar Park di Padang Lembu, Paya Mat Insun. - Foto Amran Hamid

Jangan jadikan masjid gelanggang politik - Mukhriz

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu semua pihak termasuk ahli politik kerajaan atau pembangkang, tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang politik sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Beliau berkata, perintah Sultan Kedah berhubung perkara itu perlu ditaati dan institusi masjid harus dihormati.

Katanya, masjid sewajarnya tidak disalahgunakan untuk kepentingan sendiri atau pihak tertentu sebagai medan menghentam kerajaan kerana ia menjejaskan institusi berkenaan sebagai wadah penyatuan umat Islam.

Mukhriz berkata, matlamat memperkukuhkan institusi masjid perlu seiring dengan pemahaman bahawa semua pihak berkepentingan menghormati perbezaan pendapat termasuk dalam politik dan tidak sesekali membawa unsur terbabit masuk ke dalam masjid.

“Bagaimana (jika) ceramah kononnya dakwah, tetapi diisi cemuhan dan cercaan terhadap pihak tertentu. Tindakan ini amat dikesali kerana ia tidak sesuai langsung dengan ruang ibadah, di tempat suci, dicemari dengan kata-kata dan tindakan bercanggah ajaran Islam.

"Kita semua tentu faham perbezaan di antara dakwah dan ceramah politik. Dakwah mempunyai nilai keilmuan, manakala ceramah politik pula bertujuan mempengaruhi pendengar terhadap sesuatu ideologi atau pemikiran kepartian.

"Biarpun disulami sejarah nabi dan hadis, ia tetap ceramah politik yang tidak bertujuan berdakwah," katanya berucap merasmikan Majlis Ijtimak Menteri Besar Bersama Imam Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, Sultan Kedah beberapa kali bertitah, melarang masjid dijadikan medan berpolitik, melainkan berfungsi sebagai pusat ibadat dan lambang syiar Islam serta tempat penyatuan ummah.

"Jika mana-mana pihak ada masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan, maka gunalah saluran yang betul untuk menyampaikan aduan itu kepada pihak berkuasa.

"Apa tujuannya menyampaikan aduan itu atau mengkritik kerajaan secara umum dalam ceramah atau kuliah masjid jika bukan untuk meraih sokongan politik?

"Gunakanlah masjid sebagai medan penyatuan ummah kerana banyak lagi masalah masyarakat yang wajar dibincangkan di masjid, umpamanya masalah sosial, gejala dadah, judi dan hubungan luar nikah yang jauh lebih penting daripada politik," katanya.

247 dibaca
Berita Harian X