Selasa, 12 Februari 2019 | 11:52am
FATIMAH (kiri) mengunjungi Marsita Mohamad ibu kepada Nor Ridwana Syahzani antara 47 tahanan warga Malaysia di Kemboja di kediaman mereka di Flat Taman Seriwangi Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Isu rakyat Malaysia di Kemboja: Yakin selesai guna saluran diplomatik

PETRA JAYA: Sarawak yakin isu penahanan rakyat negeri ini di sebuah penjara di Kemboja sejak dua bulan lalu dapat diselesaikan dengan baik melalui saluran diplomatik.

Malah, keyakinan itu juga bersandarkan hubungan baik antara Malaysia-Kemboja yang terjalin sejak sekian lama, selain berpegang kepada semangat ASEAN.

Katanya, kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi kepada Kementerian Luar agar menyediakan khidmat guaman paling terbaik kepada rakyat Malaysia yang ditahan

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pendidikan bangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kerajaan negeri bersikap optimis dan yakin kesemua tahanan akan dibebaskan, seterusnya dibawa pulang ke tanah air dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan Sarawak meletak harapan tinggi kepada Kerajaan Pusat, khususnya Wisma Putra untuk memastikan kelancaran usaha pembebasan kesemua warga Malaysia itu, khususnya 44 ‘Anak Sarawak’ melalui proses sepatutnya, termasuk rundingan antara kedua-dua negara.

“Kita berharap mereka dapat dibebaskan segera, seterusnya dibawa pulang ke pangkuan keluarga yang sudaa terlalu lama menunggu kepulangan mereka,” katanya kepada NSTP, di sini.

Beliau sebelum itu mengunjungi Masita Mohamad, 48, ibu kepada salah seorang tahanan berkenaan, Nur Ridwana Syahzani Hamddie, 21, di Flat Taman Sri Wangi, di sini.

Fatimah turut menafikan kerajaan negeri bersikap ‘lepas tangan’ berhubung isu berkenaan, malah pelbagai usaha sudah dilaksanakan sejak penahanan kesemua individu berkenaan dimaklumkan secara rasmi oleh agensi berkaitan.

“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada Wisma Putra untuk mengendalikannya kerana ia sudah membabitkan aspek diplomatik dan undang-undang negara asing, namun memantau perkembangan kes dari semasa ke semasa.

“Malaysia memiliki undang-undang sendiri, begitu juga Kemboja. Sarawak sebagai wilayah dalam Malaysia, memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Pusat melalui Kementerian Luar untuk berunding membawa mereka pulang,” katanya.

Kesemua 47 tahanan warga Malaysia berusia antara 19 hingga 44 tahun itu antara 55 warga asing ditahan di Penjara Wilayah Banteay Mancheay, di Poipet, Kemboja sejak 11 Disember lalu membabitkan rakyat Malaysia, Thailand dan China.

Penahanan serentak kesemua individu berkenaan menguatkan lagi dakwaan wujudnya kegiatan pemerdagangan manusia didalangi sindiket antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi ‘agensi pekerjaan’ menawarkan pendapatan lumayan di luar negara.

Berita penahanan kesemua individu terbabit diketahui selepas didedahkan NSTP, disusuli sidang media Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien berhubung perkara itu, 7 Februari lalu.

Fatimah ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan negeri turut menyediakan khidmat kaunseling kepada semua 44 keluarga tahanan terbabit di Sarawak.

“Kita akan melakukan pertemuan secara berperingkat dengan kesemua keluarga terbabit untuk memberi mereka semangat dalam mengharungi detik sukar ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, isu berkenaan kini mendapat liputan meluas media antarabangsa kerana membabitkan jumlah mangsa sindiket yang agak ramai.

“Banyak negara luar memerhati secara rapi perkembangan situasi membabitkan rakyat kita yang ditahan di sana, termasuk layanan diberikan dan bagaimana mereka diadili,” katanya.

624 dibaca
Berita Harian X