Selasa, 12 Februari 2019 | 11:44am
SAIFUDDIN Abdullah

Polaris dalam perairan Johor Bahru - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kapal pemantau Malaysia, MV Polaris berada dalam had garis sempadan pelabuhan Johor Bahru ketika terbabit insiden perlanggaran pada 9 Februari lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika menegaskan perkara itu berkata pendirian rasmi negara berhubung kedudukan kapal milik Jabatan Laut Malaysia berkenaan sudah dimaklumkan kepada Singapura.

Bagaimanapun, beliau berkata, Singapura masih berpegang pada dakwaan mereka bahawa kapal pemantau milik Malaysia berada dalam wilayah perairan pertikaian ketika insiden pada jam 2.28 petang itu.

“Polaris berada dalam had garis sempadan pelabuhan Johor Bahru, itu pendirian kita. Namun disebabkan ia perairan pertikaian, Singapura sudah pasti mempertikaikan perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, kita yakin bahawa Polaris berada dalam had sempadan negara. Pendirian ini sudah disuarakan kepada Singapura.

“Namun, mereka masih mendakwa bahawa Polaris dalam perairan pertikaian, (maka) isu ini kita akan selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku ‘10 Falsafah Untuk Malaysia Sederhana’, di sini, hari ini.

Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA) sebelum ini dilaporkan berkata dalam kenyataan bahawa kejadian pada jam 2.28 petang itu berlaku ketika kapal pengangkut pukal didaftar di Greece, MV Pireas dalam pelayaran dari Singapura ke hentian seterusnya di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Rentetan insiden berkenaan, Wisma Putra dalam kenyataan menjelaskan MV Pireas dilihat memasuki Had Pelabuhan Johor Bahru, dalam perairan Malaysia, pada jam 2.15 petang.

“Ketika berkomunikasi dengan MV Polaris, MV Pireas memberi maklum balas kapal itu menjauhkan kedudukannya dari MV Polaris.

“Walaupun komunikasi jelas dan definitif diberikan, perlanggaran berlaku sehingga kedua-dua kapal berjauhan antara satu sama lain pada jam 2.36 petang.

“Jabatan Laut Malaysia menahan kapal Greece itu dan anak kapal bagi tujuan siasatan awal mengikut Seksyen 334(1) Ordinan Perkapalan Malaysia 1952,” menurut kenyataan itu.

Saifuddin berkata, rangkaian perbalahan Malaysia-Singapura, termasuk membabitkan isu perlanggaran dua kapal berkenaan, bukan berpunca daripada tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian melakukan rondaan di sempadan perairan kedua-dua negara pada 9 Januari lalu.

“Ini tiada kena-mengena dengan Datuk Osman, sebaliknya membabitkan (isu) perairan pertikaian (antara Malaysia dengan Singapura).

“Kedua-dua negara saling berhubung, malah setiap masa kita berunding pelbagai perkara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Malaysia mengikuti rapat pergolakan yang menyaksikan penindasan etnik Uighur di China, justeru pendirian negara disampaikan menerusi saluran diplomasi.

“Pada peringkat pegawai, Wisma Putra sudah memaklumkan keprihatinan kami kepada Duta Besar China di Malaysia.

“Kita mengikut saluran diplomasi sedia ada sambil menjaga baik hubungan Malaysia-China,” katanya.

452 dibaca
Berita Harian X