Selasa, 12 Februari 2019 | 11:05am

Rokok haba kena ikut peraturan

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini sejenis peranti yang digunakan untuk memanaskan tembakau dan bukan membakarnya atau ‘Heat Not Burn’ (HNB) diperkenalkan di pasaran yang kononnya lebih selamat berbanding rokok biasa kerana kurang mengeluarkan asap yang memberi kesan buruk kepada orang awam.

Fungsinya adalah untuk ‘memanggang’ tembakau, menghasilkan pelepasan wap kering untuk disedut penggunanya tanpa asap dalam setiap hembusan.

Batang haba mengeluarkan semburan ringan ‘kering’ yang menghilang dalam beberapa saat - tidak seperti pelepasan asap dari rokok atau wap daripada vape dan rokok elektronik (e-rokok).

Pengguna memasukkan batang tembakau pendek yang didatangkan dalam pelbagai perisa seperti pudina, pati buah dan perisa lain ke dalam peranti pemanasan.

Sejak diperkenalkan di pasaran antarabangsa tahun lepas, peranti baharu yang semakin popular di seluruh dunia, dan juga di Malaysia itu, nampaknya cukup mengelirukan daripada segi penggunaannya sebagai rokok dan kesannya ke atas kesihatan awam.

Bagaimanapun, aktivis anti merokok Amerika dan pegawai kesihatannya sudah menyuarakan kebimbangan sama ada peranti baharu itu mampu mengurangkan kematian akibat tembakau atau ia hanya menggantikan satu produk berbahaya lain.

Persoalannya kini, HNB tidak tertakluk kepada peraturan yang sama seperti rokok walaupun ia berada di bawah definisi rokok, malah seakan mendapat ‘layanan istimewa’ dari segi perundangan di negara ini yang mana ia bebas dipromosikan secara terbuka khususnya di dalam media sosial.

Lebih mengecewakan, tiada sebarang paparan amaran kesihatan bergambar serta label kandungan nikotin serta tar berbanding rokok konvensional.

Definisi ‘Rokok’ di bawah Kawalan Peraturan-Peraturan Produk Tembakau 2004 merangkumi sebarang produk yang mengandungi keseluruhan atau sebahagian daripada tembakau yang dipotong, dicincang atau dikeluarkan, atau mana-mana hasil tembakau atau pengganti, dalam satu atau lebih kertas bungkus dan yang boleh digunakan dengan segera untuk merokok.

‘Merokok’ bermaksud menghirup dan menghembus asap atau wap dari mana-mana produk tembakau dan termasuk pemegangan atau kawalan terhadap apa-apa produk tembakau yang dinyalakan, dipanaskan atau diuapkan.

Oleh kerana HNB mengandungi tembakau, digulung dalam satu bungkusan kertas, produk tembakau yang dipanaskan, ia di bawah takrif Rokok di bawah undang-undang, ia perlu mematuhi undang-undang Kementerian Kesihatan di bawah Peraturan Produk Kawalan Tembakau 2004 dan diperlakukan seperti rokok konvensional.

Pengarah Urusan Japan Tobacco International (JTI) Malaysia, Cormac O’Rourke, berharap pihak KKM mengadakan rundingan dengan industri bagi menjelaskan persoalan ini.

“Kami sudah meminta penjelasan daripada KKM berkenaan pengawalseliaan produk ini, bagaimanapun sehingga kini belum ada jawapan dari pihak KKM.

“Peraturan yang dilaksanakan terhadap produk tembakau pada masa ini, iaitu PPKHT 2004, perlu diperinci dan diperjelaskan oleh KKM kerana aplikasi perundangan yang tidak konsisten terhadap produk tertentu termasuk HNB,”katanya.

Sementara itu, beberapa syarikat pengeluar rokok lain turut dihubungi, namun gagal mendapat sebarang maklum balas daripada mereka.

Mengulas mengenai persoalan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata HNB dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil tembakau (PPKHT) 2204.

“Larangan iklan serta promosi bagi produk ini adalah tertakluk kepada Peraturan 4 iaitu Larangan Mengenai Iklan Hasil Tembakau, Peraturan 5 Larangan Mengenai Tajaan dan Peraturan 5A iaitu Larangan Penjualan Hasil Tembakau melalui Promosi. Peraturan 10A PPKT 2004 juga melarang penjualan hasil tembakau secara atas talian.

“Berkaitan amaran bergambar bahaya merokok, di bawah Peraturan 15, PPKHT 2004 hanya memperuntukkan pembungkusan mengenai Amaran Kesihatan Bergambar kepada produk rokok saja iaitu Peraturan ini tidak tertakluk kepada produk tembakau lain selain rokok seperti e-rokok yang menggunakan tembakau, cigar , cigarillos dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, Pembungkusan Amaran Kesihatan Bergambar bagi produk lain termasuk e-rokok yang menggunakan tembakau akan dilaksanakan di dalam Akta Baru Kementerian Kesihatan dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X