Isnin, 11 Februari 2019 | 4:36pm
Zulkifli bergambar bersama pegawai dan anggota Pemerintahan Medan Timur selepas mengakhiri lawatan kerja ke Pemerintahan Medan Timur di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan. - NSTP/Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kertas Putih Pertahanan Negara jelas peranan mantapkan pertahanan

SAMARAHAN: Kertas Putih Pertahanan Negara dijangka dibentangkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, di Parlimen, Julai ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, dokumen itu mengandungi perkara dan langkah yang perlu dilaksanakan dalam mempertahankan negara.

Beliau berkata, dokumen itu juga akan memberikan penerangan secara jelas peranan rakyat, agensi dan organisasi pertahanan selain anggota tentera untuk memastikan negara terus mengecapi keamanan.

“Kertas Putih Pertahanan ini adalah dokumen terbuka untuk didedahkan kepada rakyat mengenai peranan mereka dan semua pihak dalam mempertahankan negara.

“Ini untuk memberikan gambaran secara jelas apa yang perlu dilakukan semua pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan agensi lain,” katanya dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja ke Pemerintahan Medan Timur di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain serta semua panglima formasi di wilayah Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Zulkifli menyampaikan Pingat Jasa Malaysia dan Pingat Kedaulatan Negara kepada 200 penerima kepada veteran tentera dan anggota yang berkhidmat semasa darurat dan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Dalam perkembangan berasingan, Zulkifli berkata, pasukan pertahanan bersama membabitkan tiga cabang perkhidmatan akan ditubuhkan membabitkan kawasan utara, selatan, pantai timur dan Sabah serta Sarawak.

Katanya, penubuhan pasukan berkenaan dilihat perlu untuk menyelaras arahan dan strategi bagi mengukuhkan sistem pertahanan negara.

“Kini kita perlu menggabungkan semua cabang perkhidmatan dalam ATM untuk mengukuhkan pertahanan serta kedaulatan negara.

“Ia masih lagi di peringkat perbincangan kerana dapat dilaksanakan berdasarkan tahap kemampuan ekonomi negara,” katanya.

272 dibaca
Berita Harian X