Isnin, 11 Februari 2019 | 2:09pm
TONY Pua selepas sidang media mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Kah Siong terhadap Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP). - Foto NSTP/Rosdan Wahid

Guan Eng pertimbang saman Ka Siong, media

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkemungkinan mengemukakan saman fitnah terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan media yang berterusan mempersoalkan statusnya sebagai akauntan profesional.

Ia susulan kenyataan Ka Siong, yang mempersoalkan status Guan Eng selaku akauntan profesional bertauliah, yang ditulis pada ruangan biodata dalam laman sesawang peribadi Setiausaha Agung DAP itu, limguaneng.com.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua, berkata Ka Siong sudah kehabisan idea hingga sanggup mengguna isu yang tidak wujud untuk membuat serangan peribadi dan penipuan bagi meraih kepentingan politik.

“Pihak peguam kepada Menteri Kewangan menasihatkan bahawa beliau berhak untuk mengemukakan saman fitnah terhadap mana-mana media pro-BN (Barisan Nasional) yang berterusan menyiarkan penipuan dengan meruntuh dan mempersoal kedudukan dan kredibilitnya.

“Saman itu juga berkemungkinan akan dikemukakan kepada pihak berkaitan yang mengeluarkan kenyataan (tidak benar) itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee.

Terdahulu, Ka Siong menerusi Facebook mempersoalkan bagaimana Guan Eng boleh bergelar akauntan profesional bertauliah pada 1983, sedangkan hanya memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Monash University di Melbourne pada 1984.

Menjawab perkara itu, Tony berkata, kalendar pengajian di Australia berakhir pada November dan Guan Eng sudah lulus semua peperiksaan berkaitan pada akhir 1983, yang membolehkannya mendapat ijazah dan kelayakan menjadi akauntan.

Katanya, Guan Eng juga adalah pemegang sijil keahlian Persatuan Akauntan Australia, yang diterimanya tiga bulan selepas lulus peperiksaan pada 21 Februari 1984, sebelum menerima sijil ijazahnya pada 11 April 1984.

“Pemegang PhD seperti Dr Wee sepatutnya boleh membezakan antara seseorang yang sudah bergraduasi daripada universiti, dengan tempoh menerima sijil rasmi yang boleh dikeluarkan selepas enam bulan atau setahun.

“Selain itu, memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi tidak bererti Guan Eng tidak belajar subjek akauntan atau tidak layak menjadi ahli Persatuan Akauntan Australia, kerana setiap universiti ada cara sendiri untuk menamakan program ijazah masing-masing.

“Sebagai contoh, universiti Oxbridge (Oxford dan Cambridge) hanya menggunakan ijazah Sarjana Muda Sastera kepada mahasiswanya, tanpa mengira subjek yang dipelajari,” katanya, yang turut mengedarkan salinan ijazah dan sijil keahlian persatuan milik Guan Eng kepada media.

Tony juga secara sinis mempersoalkan sama ada Ka Siong akan berterus-terang sama ada MCA ada menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya mengapa Guan Eng tidak menjawab sendiri persoalan dibangkitkan Ka Siong, Tony berkata, isu itu terlalu remeh dan tidak perlu dijawab oleh Menteri Kewangan.

Diminta menjelaskan sama ada Guan Eng adalah akauntan bertauliah atau akauntan berkanun, Tony hanya tersenyum sambil menunjukkan salinan sijil Persatuan Akauntan Australia, yang hanya memperakukan Menteri Kewangan itu sebagai ahli sementara.

Berita Harian X