Ahad, 10 Februari 2019 | 10:45am
FOTO hiasan.

Ahli keluarga semakin resah, bimbang

KUCHING: Ahli keluarga kepada 47 tahanan warga Malaysia semakin resah dan khuatir, terutama berhubung jaminan keselamatan mereka di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja.

Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hafsah Harun, berkata kebimbangan itu berasas selepas mengambil kira faktor umur tahanan berkenaan yang kebanyakannya adalah anak muda.

“Sudah masuk hari ke-60 kesemua mereka ditahan di Kemboja. Saya menyeru kepada semua kepemimpinan kerajaan negeri dan Pusat untuk turun melawat ahli keluarga tahanan. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kerisauan mereka.

“Saya sedang mengatur pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan ahli keluarga tahanan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tidak menularkan spekulasi tidak benar dalam media sosial mengenai isu tahanan itu kerana dikhuatiri mengganggu proses rundingan antara pihak kerajaan dengan Kerajaan Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Seramai 44 daripada 47 orang berumur antara 19 hingga 44 tahun ditahan sejak 11 Disember lalu itu adalah anak muda dari Sarawak yang berasal daripada keluarga miskin membabitkan belia Melayu, Iban dan Melanau.

Semua tahanan itu disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang memperdaya dengan tawaran gaji lumayan bekerja di Kemboja, malah ada antara mereka dikatakan perlu membayar wang pendahuluan AS$100 hingga AS$200 seorang.

Mereka ditahan pihak berkuasa Kemboja kerana didakwa terbabit kegiatan perjudian dalam talian, namun tidak dibawa ke mahkamah untuk proses pendakwaan.

Mengikut undang-undang negara itu, kesemua mereka boleh dikenakan tahanan tanpa bicara selama tiga tahun.

Mengulas lanjut, Hafsah berkata, beliau menghargai komitmen Kementerian Luar yang bertindak segera susulan sidang media khas diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, Khamis lalu.

“Saya mengucapkan penghargaan atas usaha pihak kementerian itu untuk membawa semua tahanan itu pulang ke tanah air,” katanya.

651 dibaca
Berita Harian X