Sabtu, 9 Februari 2019 | 3:04pm
Wakil dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat tahanan 47 tahanan warga Malaysia yang ditahan di Kemboja.

1 tahanan Malaysia dikejarkan ke hospital

KUCHING: Seorang daripada 47 tahanan warga Malaysia dikejarkan ke hospital di Poipet dalam Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja minggu lalu, bagi menjalani pembedahan dalam perut.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien ketika mendedahkan perkara itu berkata, perkembangan berkenaan dimaklumkan oleh ahli keluarga tahanan terbabit di Sarawak.

“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, selain menyatakan hasrat untuk melawat kesemua tahanan terbabit bersama waris mereka, khususnya dari negeri ini.

“Kita berharap lawatan ini turut disertai wakil media tempatan bagi mendapatkan pandangan jelas dan maklumat terperinci apa yang berlaku di sana untuk pengetahuan rakyat kita, khususnya penduduk Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Wei Shien berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini tahanan yang menjalani pembedahan itu, termasuk penyakit sebenar dihidapinya.

“Kita berharap kesemua tahanan terbabit dijaga kebajikan mereka dengan baik oleh Kerajaan Kemboja. Justeru, adalah penting untuk kita mengadakan lawatan ini bagi melihat sendiri keadaan mereka,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, 47 rakyat Malaysia, dengan 44 daripadanya berasal dari Sarawak ditahan pihak berkuasa Kemboja atas dakwaan terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara itu.

Difahamkan, kesemua individu terbabit diperdayakan dengan tawaran kerja sebagai jurujual barangan elektrik jenama terkenal antarabangsa yang menawarkan gaji lumayan antara AS$100 (RM400) hingga AS$200 (RM800) sehari berserta tiket penerbangan dan tempat tinggal percuma, selain peluang melancong.

Mereka hanya menyedari diperdayakan ‘agensi pekerjaan’ berkenaan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa selepas rumah didiami di wilayah itu, kira-kira 446 kilometer ke utara Phnom Penh, diserbu pihak berkuasa Kemboja susulan maklumat risikan.

Sehingga kini, kesemua tahanan itu tidak didakwa di mahkamah, malah boleh dikenakan tahanan tanpa bicara selama tiga tahun mengikut undang-undang negara itu.

Wei Shian ketika mengulas lanjut, berkata memandangkan komunikasi antara mangsa dan ahli keluarga cukup terhad, beliau sedang berusaha menggunakan kapasiti peribadi untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kerajaan negeri menyokong usaha Wisma Putra membebaskan tahanan terbabit dan bersiap sedia menghulurkan sebarang bentuk bantuan.

Beliau ketika dihubungi di Makkah, berkata kerajaan negeri memantau rapi perkembangan kes berkenaan kerana membabitkan jumlah ‘Anak Sarawak’ yang ramai.

“Khidmat diberi oleh pihak konsulat (Malaysia) membabitkan nasihat undang-undang, selain menjaga kebajikan mereka. Kita juga sedang meneliti bagaimana kes sebegini boleh berlaku, termasuk puncanya,” katanya.

2237 dibaca
Berita Harian X